Foto Ihsan: Bernama |
Kuala Nerus: Persoalan mengenai status tiga pemain import Terengganu FC (TFC) iaitu Luke Woodland, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic akhirnya terjawab apabila mengesahkan kekal bersama pasukan itu.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Terengganu (TFFCSB), Ab Rasid Jusoh yang mengesahkan ketiga-tiga pemain itu masih mempunyai kontrak setahun bersama TFC.
Menurutnya, walaupun ketiga-tiga pemain itu jarang diturunkan pada musim lalu, mereka masih terikat dengan pasukan itu kerana telah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk musim 2022 dan 2023.
"Luke, Argzim dan Jordan, masih pemain TFC kerana mereka telah menandatangani kontrak selama dua musim. Cuma beberapa pasukan telah menyatakan minat untuk mendapatkan mereka secara pinjaman dan sebagainya.
“Tetapi kami yakin Luke jika dia berlatih dengan baik dan bebas kecederaan akan dapat bermain dengan baik. Jadi pada peringkat pemilihan awal dia disenaraikan dalam skuad,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani penajaan antara TFCSB dan Sabasun HYPERRUNCIT Sdn Bhd di pejabat TFCSB di sini hari ini.
Pada majlis itu, TFCSB menerima tajaan wang tunai RM250,000 daripada Sabasun HYPERRUNCIT Sdn Bhd untuk Piala Liga Malaysia dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Sehubungan itu, Ab Rasid berkata kelab itu masih memproses pendaftaran Argzim sebagai pemain naturalisasi musim depan.
Beliau berkata pemain pertahanan kelahiran Montenegro itu telah memenuhi syarat utama yang telah beraksi selama lima tahun dalam Liga-M.
“Perkara itu telah dibawa ke Jabatan Imigresen dan ia dalam proses...ia akan mengambil masa.
“Selain lima tahun beraksi dalam Liga-M, dia juga berkahwin dengan wanita tempatan. Ini menguatkan kesnya untuk diberikan naturalisasi,” katanya.
Argzim, 30, mula beraksi dalam saingan Liga M bersama Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) dari 2018 hingga 2019 sebelum menyertai Terengganu pada 2020 hingga kini. - BERNAMA