(Video) 'Dah nama pun Kelisa' - Netizen bangga kereta Perodua Kelisa mampu redah banjir


Beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilaporkan banjir pada petang semalam menyebabkan beberapa jalan utama ditenggelami air. 

Video dan gambar yang tersebar di media sosial juga menunjukkan kenderaan orang awam dan premis perniagaan juga ditenggelami air.

Viral di media sosial, video sebuah kereta buatan tempatan meredah banjir membuatkan orang ramai bangga dan kagum dengan kemampuan serta prestasi kenderaan itu. 

"Kecil bukan sebarang kecil," demikian kata netizen di media sosial. 

Menurut sumber, kejadian berlaku di Jalan Dang Wangi itu menunjukkan sebuah kereta Perodua Kelisa nekad meredah banjir dan di kesempatan itu ramai yang merakam video. 

Bermula dengan perlahan dan sesekali hampir terciduk di tengah jalan, namun pemandunya tetap gagah merentas banjir biarpun terpaksa melanggar benteng pembahagi jalan yang sedikit sebanyak menjatuhkan air mukanya. 

Didorong dengan sorakan orang ramai pasti membuatkan pemandu itu kembali bersemangat untuk meneruskan perjalanan yang mencabar itu dan akhirnya berjaya jua merentas banjir yang tidak dipinta itu. 

Setelah berjaya, pemandunya menghadiahkan ombak kecil buat penonton di tepi jalan sebagai tanda terima kasih dan berharap tidak akan berjumpa lagi. 

Sementara itu di media sosial, netizen memberi pelbagai reaksi yang menghiburkan hati. 


Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS

Sumber : thereporter.my