Baru-baru ini seorang individu tampil menyuarakan pandangannya mengenai peranan guru dalam memastikan para pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan Covid-19 bukan hanya di dalam sekolah, malah di luar pintu pagar sekolah.
Individu yang berasal dari Ampang berkata, trend pada masa ini menunjukkan peningkatan kes yang ketara membuatkan golongan ibu bapa mula bimbang dengan tahap keselamatan anak masing-masing.
"Apabila di sekolah, kanak-kanak ini bergaul sehingga lupa pesanan untuk menjaga penjarakan sosial dan tidak menyentuh sesama mereka.
"Lihat sahaja cara mereka bermain dan berbual selepas tamat sesi persekolahan, langsung tidak akur kepada arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
"Tiada pula kelihatan guru mengawal atau memantau pelajar di luar sekolah yang agak bebas bergaul dan bermain," katanya.
Jelasnya, dia tidak menyalahkan guru tetapi amat berharap pihak sekolah membuat pemantauan agar para pelajar lebih patuh kepada SOP yang ditetapkan.
"Ini kerana kita tidak pasti pergaulan pelajar di luar sekolah, ke mana mereka pergi dan berjumpa dengan siapa sekali gus kebolehjangkitan itu amat tinggi," katanya.
Bagaimanapun, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tampil menyelar kenyataan itu yang dianggap cuba melepaskan tanggungjawab itu kepada guru semata-mata.
Setiausaha Agung NUTP, Hary Tan Huat Hock menegaskan, pematuhan SOP para pelajar apabila berada di luar sekolah adalah tanggungjawab ibu bapa sepenuhnya.
"Urusan antara guru dan pelajar hanya bermula di pintu pagar utama dan berakhir di tempat yang sama mengikut waktu yang telah ditetapkan.
"Awal pagi, guru sudah tunggu depan pagar untuk rekod suhu pelajar. Selain itu semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran rancak berjalan pula guru juga terpaksa menyelesaikan beberapa perkara penting seperti kes ponteng dan disiplin pelajar," katanya.
Sumber: Bernama, Facebook
Sumber : thereporter.my