Suami maut, isteri parah dilanggar pemandu mabuk

Lagi kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk di Lebuhraya SILK pada lewat malam Jumaat yang mengorbankan seorang penunggang motosikal, manakala pemboncengnya parah. 


Menurut sumber, kejadian yang berlaku pada jam 12 tengah malam Jumaat (25 September 2020) di Lebuhraya SILK berhampiran Balakong di mana kedua-dua mangsa merupakan pasangan suami isteri dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. 


Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dirempuh dari bahagian belakang oleh seorang pemandu yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol. 


"Suami tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira jam 3.30 petang tadi.


"Manakala si isteri pula patah kaki kiri dan lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti dan sedang mendapatkan rawatan di hospital sama," katanya. 


Kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bagaikan tidak memberi kesan dan keinsafan pada golongan kaki mabuk ini.


Justeru masyarakat menyeru pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap pemandu mabuk sama ada meminda peraturan sedia ada atau haramkan terus penjualan alkohol di negara ini. 


Tiada gunanya setiap penggal bertukar kerajaan atau menteri tetapi masalah yang sepatutnya dapat diselesaikan ini menjadi terlalu sukar hendak ditangani dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah demi menjaga hati beberapa pihak yang enggan keuntungannya terjejas. Apakah keuntungan sesetengah pihak berkaitan itu lebih penting berbanding keselamatan nyawa rakyat Malaysia?


Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS



Sumber : thereporter.my