Ayah adalah sesosok badan yang sanggup berjuang mencari rezeki untuk keluarga dan untuk membesarkan anak-anak. Walaupun ibu lebih utama, tetapi ayah juga memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berguna dan berpendidikan.
Hargailah pengorbanan ayah walaupun mereka tidak selalu dengan kita, tetapi dia juga banyak berkorban mencari rezeki. Demi anak, ayah sanggup berhujan, berpanas dan mengerah keringat demi mencari sesuap nasi.
Kepada yang masih mempunyai ayah, hargai dan sayangilah mereka. Ayah sentiasa menginginkan yang terbaik untuk anak-anaknya seperti dalam kisah yang dikongsikan oleh Azri Walter di bawah ini.
TADI saya nak pergi ke office di Putrajaya. Jalan pada waktu itu lengang. Saya memandu sambil chill layan angin petang.
Waktu nak sampai di lampu isyarat, saya ternampak seorang lelaki bawa motosikal, nampak seperti ada bawa sesuatu. Saya rapatkan kereta dan jenguk, memang betul. Dia bawa teddy bear besar.
Kebetulan lampu isyarat merah, saya berhenti bersebelahan dengan dia. Saya turunkan tingkap dan tanya.
"Bang, besar teddy bear tu. Nak bawa ke mana tu?"
Dia angkat tunjuk dekat saya. Dia buka pelitup muka dan kata, "Ya bang. Ini saya jumpa waktu kerja tadi. Dekat tempat sampah ada orang buang. Saya ambil bang".
"Tu nak bawa balik bagi anak ke?" saya tanya lagi.
Dia terdiam, dia pandang teddy bear tu, dia pandang saya. Saya pandang dia. Tajam renungan dia lalu berkata:
"Ya bang. Anak saya lagi mahu teddy bear. Kelmarin ada nampak di kedai. Tapi harganya mahal sangat. Boleh buat lauk makan keluarga bang (sambil ketawa).
"Ini bear tadi saya jumpa dekat tempat sampah masih elok. Memang rezeki dia. Nanti saya basuh bersih, saya bagi dia, mesti dia suka," katanya.
Ya Allah, sayu bunyinya. Saya tergamam sekejap. Lampu bertukar hijau. Dia angkat tangan dekat saya.
"Hati-hati bang. Nak hujan ni. Abang memang ayah terbaik!" saya cakap kat dia.
Sekejap sahaja Tuhan hantarkan saya peringatan. Atas apa jua kepayahan yang kita sedang lalui, ada orang lebih susah dari kita.
Begitulah kisah seorang ayah. Kita selalu dengar kisah pengorbanan ibu dan para wanita. Namun, usah kita melupakan pengorbanan para lelaki.
Setiap hari mereka keluar mencari rezeki. Entah hujan, entah panas. Tak siapa yang tahu apa dilalui setiap hari bagi memastikan ada nasi di atas pinggan untuk keluarga.
Lelaki ini memang jenis tak suka sangat bercerita apa yang mereka lalui di luar. Tanggungjawab di bahu yang dipikul bukan mudah. Kadang tu, atas motosikal tak perasan air mata berlinangan. Betul tak?
Buat para lelaki, semoga terus kuat semangat semuanya. Setiap tanggungjawab ini ada ganjaran pahala di sisi Tuhan.
Mari kita semua bersama-sama terus melawan kerasnya hidup ini. Kita tidak boleh putus asa kerana di belakang kita ada harapan yang perlu dipenuhi.
Kita rasa down, tatap sekejap wajah-wajah insan yang Tuhan amanahkan untuk kita. Nescaya membara semangat!
Sumber: Azri Walter
Sumber : thereporter.my