Difitnah tak bersimpati dengan nasib golongan B40/M40, Vivy Yusof saman netizen

Founder Fashion Valet dan dUCK Group, Datin Vivy Yusof, 33, memfailkan saman terhadap seorang wanita yang memfitnah di media sosial pada 30 Mac lalu. 


Saman itu difailkan melalui Tetuan Foong Cheng Leong & Co pada 15 Jun lalu dan menamakan Alia Najwa Hassannudin, 28, selaku defendan tunggal. 


Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datin Rohani Ismail dan hasil semakan mahkamah, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 7 Oktober ini.


Menurut Vivy yang selaku plaintif mendakwa, beliau telah memuat naik video di akaun Instagramnya berhubung perbualan empat usahawan mengenai status ekonomi yang terjejas akibat Covid-19 dan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri, pada 28 Mac lalu. 


30 Mac, defendan telah memuat naik beberapa kenyataan mengenai Vivy di Facebook dan Instagram milik defendan sendiri dan secara salah menyatakan bahawa plaintif mempersoalkan tindakan kerajaan membantu golongan B40 dan M40, sedangkan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada ekonomi negara. 


Kenyataan defendan itu dalam erti kata lainnya mendakwa plaintif tidak bersimpati terhadap nasib golongan B40 dan M40, yang juga membawa maksud bersikap angkuh, mementingkan diri sendiri dan tidak profesional serta mementingkan keuntungan. 


Disebabkan kenyataan fitnah itu, wujud satu petisyen pada sekitar 1 April yang mendesak plaintif dilucutkan jawatan sebagai Ahli Pengarah UiTM yang telah ditandatangani lebih 230,000 pengguna sejak ia dilancarkan. 


2 April, surat tuntutan telah dikeluarkan kepada defendan yang menuntut dia untuk berhenti menerbitkan sebarang kenyataan fitnah terhadap plaintif di media sosial.


Plaintif mendakwa, defendan membalas surat tuntutan itu melalui aplikasi Facebook, namun gagal mematuhi kesemua kehendak plaintif. 


Disebabkan itu, plaintif kini menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, suatu perintah agar defendan memadamkan semua kenyataan fitnah itu selain membuat satu permohonan maaf terhadap plaintif. 


Sumber: Bernama



Sumber : thereporter.my