'Nampak sangat pergunakan anak untuk buat duit' - Ibu bapa paksa anak usia 3 tahun buat Mukbang dikecam netizen


Sepasang suami isteri di China dikecam teruk oleh netizen selepas dituduh mempergunakan anak perempuan mereka untuk membuat video makan-makan bagi tujuan menjana pendapatan. 

Video dan gambar Pei Qi yang berusia tiga tahun viral di media sosial jelas sekali menunjukkan kanak-kanak itu mengalami berat badan berlebihan.

Ibu bapa Pei Qi yang memuat naik video itu di media sosial, dikecam teruk oleh berjuta netizen yang marah dan mendakwa mereka mendera Pei Qi dan mempergunakannya untuk mendapatkan wang. 

Isu itu juga mengundang perdebatan netizen di China minggu ini selepas ramai yang berkongsi gambar/video Pei Qi. 

Difahamkan, ibu Pei Qi memuat naik video anaknya sejak 2018 di platform Xigua Video.

Video menunjukkan Pei Qi duduk di depan kamera sambil menjamah makanan yang disediakan dalam kuantiti besar, 'Mukbang' fenomena popular di internet berasal dari Korea Selatan. 

Banyak video Pei Qi yang dikatakan sangat popular termasuk salah satunya yang meraih 550,000 tontonan. 

Berdasarkan video Pei Qi, netizen menganggarkan berat badannya 35 kilogram, lebih dari berat badan kanak-kanak sebaya dengannya. 

Pernah dalam video di mana Pei Qi meminta ibu bapanya berhenti menyuapnya, tetapi permintaannya tidak diendahkan. Sebaik saja makanan dalam pinggannya habis, mereka terus menambahnya lagi. 

Ramai yang mengesyaki ibu bapa Pei Qi mempergunakan anak mereka untuk menjana pendapatan. 

"Pasangan ini gunakan anak untuk menjana pendapatan. Mereka tak peduli pun tentang kesihatan anak mereka.

"Ini jelas sekali satu bentuk penderaan! Mereka tak layak menjadi ibu bapa. Geramnya aku!!!

"Pihak berkuasa perlu menyiasat isu ini mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa budak tu. Pasti ke suami isteri itu ibu bapa kandung kepada Pei Qi?" soal netizen. 


Susulan viral itu, semua video Pei Qi telah dipadamkan. Namun, ibu bapa Pei Qi menafikan semua dakwaan itu dan menjelaskan Pei Qi berada dalam keadaan sihat. Malah sepanjang proses merakam video itu semua, mereka berasa seronok. 

"Video kami bukan hanya tunjuk dia makan sahaja. Ada juga video tentang dia turun berat badan dan menari," kata ibu Pei Qi. 

"Dia anak kandung saya, dah kenapa pula saya nak paksa dia makan banyak? Dia sejak lahir memang besar saiz badannya," tambahnya lagi. 

"Memang kami ada jana sedikit pendapatan tetapi dalam ratus yuan saja, bukannya banyak pun," kata bapanya. 


Meskipun penafian telah dibuat, tampil satu organisasi rasmi yang melindungi hak dan kebajikan wanita dan kanak-kanak membuat siasatan terhadap isu itu. 

Pihak berkuasa China mengesahkan, keluarga berkenaan menetap di Guangzhou, selatan China dan kes itu juga disiasat pihak berkuasa tempatan. 

Sumber: Daily Mail



Sumber : thereporter.my