Menegur Ibu Bapa Yang Tidak Solat, Apakah Hukumnya?



SOALAN 


Ohmedia dapat rasakan ada antara kita ketika remaja mengalami masalah di mana ibu bapa tidak solat. Jadi, adakah boleh seorang anak menegur atau menasihati ibu bapanya yang tidak solat? apakah hukumnya?

JAWAPAN 


Walaupun akhlak dan tingkah laku orang tua itu buruk namun ia tidak menjadi alasan kita boleh lakukan sesuka hati. Wajib menjaga adab dan menghurmati mereka.

Namun kewajipan menghurmati bukanlah penghalang dari menyuruh mereka melakukan ma’ruf dan melarang dari kemunkaran.

Ibu bapa yang tidak solat wajib dinasihati oleh anak-anak kerana anak-anak lebih dekat dengan mereka dan dalam memberi nasihat itu hendaklah dijelaskan tentang kemungkaran yang mereka lakukan agar mereka mudah sedar.

Di dalam Al-Quran menceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s. yang menasihati orang tuanya yaitu firman Allah :

وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِيمُ لِأَبِيهِ ءَازَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا ءَالِهَةً ۖ إِنِّىٓ أَرَىٰكَ وَقَوْمَكَ فِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ


Artinya : “Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim berkata bagi bapanya Azar : Adakah kamu mengambil berhala-berhala sebagai Tuhan? Sungguhnya aku lihat kamu dan kaum mu berada di dalam kesesatan yang nyata.” (Al-An’am : 74)


Cara menegur itu hendaklah dengan lemah lembut dan dilakukan dengan penuh kasih sayang. Teguran boleh dengan secara langsung dan boleh dengan cara sindiran atau menunjukkan kepentingan solat dihadapan mereka.

Anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang tidak solat jangan tinggal berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati mereka untuk menunaikannya.

Firman Allah :

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ

Artinya : "Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang elok. Dan bantahilah mereka dengan cara yang paling baik.”(An-Nazhl : 125)


Maka menasihati orang tua tidak dikira dalam perbuatan derhaka bahkan perbuatan yang disuruh syarak.

Wallahua’lam

Kredit: Ustaz Azhar Idrus

+ Baca respon pembaca menegur ibu bapa yang tidak solat, apakah hukumnya? Di Facebook Oh! Media 

Sumber: Oh! Media