SOALAN
Baru-baru ini telah viral gambar pengguna lebuhraya menunaikan solat di tepi jalan sehingga mengundang pelbagai reaksi dari netizen. Jadi, apakah hukumnya?
JAWAPAN
Hukum sembahyang di tepi jalan jika bersih tempat tersebut dan tidak mengganggu khusyuknya maka hukumnya adalah harus sekalipun sembahyang ia di atas tanah atau rumput.
Telah diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah r.a. Rasulullah saw bersabda :
أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي.. وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ
Artinya : “Telah diberikan akan daku lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang pun sebelum aku yaitu antaranya ialah dijadikan bagi aku bumi ini tempat sembahyang yang suci. Maka siapa sahaja yang mendapat waktu sembahyang telah masuk maka sembahyanglah.” (Hadith Imam Bukhari)
Tetapi jika sembahyang ia pada tempat yang dilalui oleh orang sehingga tersekat orang dari melaluinya maka hukumnya adalah makruh dan boleh dihalang dan jika ada padanya najis yang bersentuh dengan badan dan pakaian orang yang sembahyang maka sembahyangnya tidak sah.
Dan begitu juga makruh jika tidak khusyuk ia disebabkan ramai yang lalu di situ atau khuatir ia akan keselamatan dirinya.
Akan tetapi jika sembahyang pada tempat yang merbahaya sekira-kira mungkin dilanggar oleh kenderaan yang menyebabkan kematian atau kecederaan maka hukumnya adalah haram sembahyang di tempat tersebut.
Berkata Imam Nawawi :
ولا يصلي في قارعة الطريق لحديث عمر رضى الله عنه "سبع مواطن لاتجوز فيها الصلاة وذكر قارعة الطريق" ولأنه يمنع الناس من الممر وينقطع خشوعه بممر الناس فإن صلى فيها صحت صلاته لأن المنع لترك الخشوع أو لمنع الناس من الطريق وذلك لا يوجب بطلان الصلاة
Artinya : “Dan tiada sembahyang pada jalan orang ramai kerana hadith Umar r.a. : Tujuh tempat yang tidak dibenarkan sembahyang padanya dan menyebut beliau akan jalan orang ramai kerana sungguhnya ia menghalang manusia dari melaluinya dan terputus khusyuknya dengan sebab lalu lalang orang ramai. Maka jika sembahyang ia padanya nescaya sah solatnya kerana larangan pada bab ini adalah kerana menghilangkang khusyuk dan menghalang laluan orang. Dan yang demikian itu tidaklah sampai membatalkan sembahyang.” (Kitab Al-Majmu’)
Maka diketahui di sini bahawa sembahyang di tepi jalan yang ada orang ramai lalu lalang berdekatannya adalah makruh sekali pun sah kerana terganggu kehadiran hatinya di dalam sembahyang sekali pun tidak menghalang orang yang lalu maka sebaiknya dia beredar jauh sedikit dari jalan supaya tenang hatinya di dalam sembahyangnya itu.
Ada pun jika menghalang orang yang lalu maka terlebih lagi makruh dan dilarang maka sebaiknya hendaklah dia tidak sembahyang di situ jika di situ tempat orang ramai lalu lalang.
Tetapi hukum ini ialah apabila tidak ada padanya sebarang uzur.
Ada pun jika ada padanya uzur misalnya sebab masa telah sempit dan tidak dapat berhenti di masjid sebab sesak atau atau tidak dapat melakukan jamak kerana perjalanannya tidak sampai dua marhalah atau umpamanya maka hukum sembahyang di tepi jalan ini adalah harus.
Wallahua’lam
Kredit : Ustaz Azhar Idrus
+ Baca respon pembaca apakah Hukumnya jika solat di tepi jalan di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media