Warga Emas Hilang Ditemui

Pok Nor akhirnya ditemui dalam keadaan lemah setelah tiga hari tidak pulang ke rumahnya sejak 30 Julai yang lalu. 
Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 3 Julai - Seorang warga emas yang dipercayai hilang di Tasik Gajah Marah, Ibok beberapa hari lalu telah ditemui oleh Pasukan Mencari Dan Menyelamat (SAR).

Mangsa yang dikenali sebagai Pok Nor atau nama sebenarnya Mohd Noor Salleh, 56, ditemui dalam keadaan lemah setelah tiga hari tidak pulang ke rumahnya sejak 30 Julai yang lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh isterinya, Rusiah Husin, 51, yang membuat laporan di Balai Polis Kemaman setelah motosikal suaminya ditemui di tepi tasik tersebut oleh penduduk kampung.


Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar, Zawawi Mohamed, pihak berkuasa dan penduduk kampung telah memulakan misi mencari dan menyelamat pagi tadi.

"Pasukan SAR yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK serta penduduk kampung pagi ini telah mengerakkan pasukannya dalam usaha mencari mangsa yang hilang tersebut.

"Alhamdulillah, mangsa sudah ditemui di tepi tasik tersebut dalam keaadan yang agak lemah dan terpaksa diangkat keluar setelah tiga hari tidak makan," ujarnya lagi.


Dalam perkembangan sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh turut bergegas ke Pondok Polis Kampung Ibok sebelum itu serta melahirkan rasa simpati di atas kejadian itu.

"Saya bersimpati dan bersyukur dengan apa yang berlaku. Syabas dan tahniah kepada para petugas yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi setelah penemuan itu.

Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Seri Bandi untuk rawatan selanjutnya.

Sumber: teganukita.net