Paizal Bakal Miliki Tanah, Rumah Sendiri

Paizal menunjukkan dokumen pemilikan tanah yang diterima daripada kerajaan Terengganu.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 4 Julai – Seorang petani, Mohd Paizal Abdul Majid, 48, menarik nafas lega selepas cita-citanya untuk memiliki tanah dan rumah kediaman sendiri akhirnya tercapai.

Ujar peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Belimbing Api itu, tanah pemberian kerajaan negeri akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan membina tempat berteduh untuk isteri dan lima anaknya.

Katanya, disebabkan masalah kewangan sebelum ini, dia hanya menumpang di teratak ibu dan ayahnya sejak mendirikan rumahtangga pada tahun 1994.

"Hari ini rasa gembira sangat. Penantian dari tahun 1999 lagi, akhirnya tahun 2020 ini saya dapat tanah daripada kerajaan negeri.

"Sebelum ini belum pernah dapat lagi tanah dan hari ini menjadi sejarah. Alhamdulillah syukur kepada Allah.

"Insya-Allah apabila mendapat geran kekal nanti, saya akan mendirikan rumah untuk kami sekeluarga. Bila ada rezeki lebih, kita akan bina dengan segera," katanya kepada pemberita UPDI selepas menerima borang 5A di Dewan Sivik Jabi, semalam.

Ab Rahim.
Sementara itu, menurut seorang lagi peserta RTB Belimbing Api, Ab Rahim Ghazali, 53, dia sangat bersyukur dan teruja kerana impian yang dinanti-nantikan sejak sekian lama akan tercapai.

"RTB Belimbing Api menunjukkan sejarah yang panjang dan amat memilukan. Ramai peserta asal dah ramai meninggal dunia. Namun berkat kesabaran serta keyakinan terhadap rezeki akhirnya impian dikembalikan kepada kami.

"Saya amat berterima kasih kepada Dr Azman Ibrahim yang berjaya menyelesaikan isu ini. Ia merupakan kejayaan yang besar bagi rakyat biasa seperti kami.

"Memang perasaan ini tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Benda yang kita tidak tahu bila akan menemui hujung pangkal, akhirnya menemui penyelesaian hari ini," tambah Rahim.

Dalam program itu seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A RTB.



Sumber: teganukita.net