Kurang Satu Rakaat Ketika Solat

SOALAN 


Ohmedia dapat rasakan ada antara kita pernah terlupa satu rakaat ketika menunaikan solat. Jadi, adakah kita perlu untuk mengulangi solat kita selepas selesai memberi salam

JAWAPAN 


Kalau seorang yang solat telah memberi salam kemudian dia teringat kekurangan rakaat dalam solatnya itu maka jika tidak lama jarak antara salam dan teringatnya itu maka hendaklah dia masuk semula ke dalam solat dan melakukan rakaat yang tinggal kemudian sunat dia melakukan sujud sahwi dua kali dan memberi salam sekali lagi.

Jika sudah lama jarak masa antara salam dan teringatnya itu maka wajib diulangi solat itu dari awal.

Tersebut pada kitab Hilyatul Ulamak :

وإن نسي ركعة من ركعات الصلاة وذكرها بعد السلام فإن لم يتطاول الفصل أتى بها وبنى على صلاته وإن تطاول الفصل استأنفها وفي حد التطاول أوجه أحدها قال أبو إسحاق إن مضى قدر ركعة فهو تطاول وقد نص عليه الشافعي رحمه الله في البويطي


Artinya : “Dan jika seorang itu lupa satu rakaat dari rakat-rakaat sembahyang dan teringat selepas salam maka jika belum lama perceraiannya hendaklah dia kerjakan rakaat itu dan lakukan atas solatnya. Dan jika sudah lama perceraiannya maka hendaklah dia mulakan semula (dari awal). Dan pada kadar lama mana itu ada beberapa pendapat. Salah satu pendapat itu disebut oleh Abu Ishaq bahawa jika berlalu kadar masa serakaat maka ia dikira lama. Dan sungguhnya telah menaskan atasnya oleh Imam Syafie di dalam kitab Al-Buwaithi.”


Dan setengah fuqahak mengkadarkan jarak yang dikira lama itu ialah apabila dilihat sebagai panjang perceraiaannya pada uruf.

Dan disyaratkan keharusan menyambung semula rakaat yang tertinggal itu hendaklah dia belum melakukan perkara yang membatalkan selepas salam dan belum berhadas.

Ada pun jika dia telah melakukan perkara yang membatalkan selepas salam seperti makan atau minum atau telah berhadas maka tidak harus lagi disambung rakaat tersebut tetapi wajib dimulakan solat dari awal.


KESIMPULAN 


Jika selepas salam dia teringat ada tertinggal satu rakaat atau lebih maka hendaklah dia bangun dan lakukan rakaat yang tinggal itu.

Jika sudah lama selepas salam sekira-kira sampai masa yang muat satu rakaat solat maka hendaklah dia lakukan semula sembahyangnya itu dari awal.

Wallahua’lam

Kredit: Ustaz Azhar Idrus

+ Baca respon pembaca kurang satu rakaat ketika solat di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media