Ibu Jual Air, Sara Anak Derita 18 Penyakit



Norzaimah bersama anak-anak.

Oleh : Aslam Wira

MARANG, 10 Julai - Demi menyara anak-anak termasuk yang menderita hampir 18 penyakit, seorang ibu tunggal di Kampung Alur Tuman di sini berniaga air balang di hadapan rumahnya.

Wan Norzaimah Wan Muhammad, 43, berkata, walaupun hasil yang diperolehi tidak seberapa, dia terpaksa melakukan kerja itu  bagi menanggung kesemua tujuh anaknya.

Katanya, tiga daripada anaknya termasuk yang menghidapi pelbagai penyakit itu merupakan orang kurang upaya (OKU).

"Saya sering berulang alik ke Hospital bersama-sama semua anak saya, sehinggakan kami terpaksa tidur di kaki lima hospital.

"Anak sulong saya ponteng sekolah sewaktu tingkatan lima untuk berkerja di kedai makan kerana tidak sanggup melihat saya dan adik-adiknya susah.

"Sekarang saya berniaga air balang di depan rumah, dan anak sulong kini berkerja sebagai nelayan bagi menampung kehidupan keluarga," katanya ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program ziarah Mobile Team Rhu Rendang di rumahnya semalam.
Zuraida (tiga dari kiri) menziarahi Norzaimah dan memberikan bantuan bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Turut hadir dalam program tersebut, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Alur Tuman, Kamaruddin Mansor.

Kesusahan hidup Wan Norzaimah itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor yang turut berkunjung ke rumahnya.

Menurut Zuraida, tindakan segera akan diambil bagi membantu keluarga berkenaan meneruskan hidup dengan lebih baik sebagaimana rakyat biasa.

"Pejabat ADUN Rhu Rendang telah mengambil tindakan terus untuk berhubung dengan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan lain-lain.

“Keluarga ini akan disenaraikan sebagai peserta Mobile Team di mana fokus kumpulan ini adalah bagi mengeluarkan mereka daripada status miskin tegar," jelas beliau.

Ujar Zuraida lagi, pihak kerajaan akan mengambil perhatian serius dengan mengikuti perkembangan keluarga terbabit dari semasa ke semasa.

“Saya juga berminat untuk membantu kak Wan dari sudut bagaimana cara mereka mencari rezeki seperti berniaga, menjahit, ataupun apa saja pekerjaan yang boleh menjana pendapatan kepada mereka," tambahnya.



Sumber: teganukita.net