Hukum Viralkan Orang Yang Berhutang

SOALAN 


Ohmedia faham ada di kalangan kita yang telah meminjamkan sejumlah duit kepada seseorang. Walaubagaimanpun si pemiinjam tidak mahu membayar hutang dan sentiasa memberi alasan walhal kehidupannya ketika ini agak mewah.

Jadi, adakah kita boleh viralkan perkara tersebut dengan niat supaya orang lain tidak menjadi mangsanya?


JAWAPAN 


Orang yang berhutang wajib menjelaskan hutangnya apabila tiba masa membayar hutang dan jika dia sengaja tidak mahu membayar hutang maka dia telah melakukan satu jenayah dan maksiat dan dikira makan harta orang secara haram yang tidak diterima amalnya.

Orang yang mampu membayar hutang tetapi tidak juga membayarnya adalah orang yang zalim.

Rasululllah saw bersabda :

مَطْلُ الْغَنِىِّ ظُلْم


Artinya : “Menunda hutang bagi orang yang mampu adalah zalim.” (Hadith Bukhari)


Dan orang yang sengaja tidak mahu membayar hutang ini boleh dikenakan hukuman dan tidak ada kehurmatan dirinya lagi.

لَىُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عُقُوبَتَهُ وَعِرْضَهُ


Artinya : “Orang yang menunda-nunda bayar hutang itu hilang kehurmatan diri dan boleh dikenakan hukuman.” (Hadith Bukhari)


Oleh kerana itu harus menceritakan perbuatan tidak mahu bayar hutang seseorang itu kepada orang lain supaya orang lain tidak terpedaya dan tidak dizaliminya tetapi tidak lebih dari perbuatan enggan membayar hutang itu sahaja yang yang harus diceritakan kepada orang ada pun perkara yang lain tidak dibolehkan.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

أَيْ يُبِيحُ أَنْ يُذْكَرَ بَيْنَ النَّاسِ بِالْمَطْلِ وَسُوءِ الْمُعَامَلَةِ لَا غَيْرِهِمَا


Artinya : “Artinya diharuskan menyebut antara manusia akan seorang yang tidak mahu bayar hutang dan buruknya muamalat denganya tetapi tidak harus menceritakan perkara yang lain dari keduanya.” (Kitab Az-Zawajir)


Kesimpulan


Harus memberitahu orang lain tentang seorang yang berperangai tidak mahu membayar hutang atau seorang yang buruk laku ketika bermuamalat dengannya dengan tujuan supaya orang lain berhati-hati apabila berurusan dengannya.

Wallahua’lam

Kredit: Ustaz Azhar Idrus

+ Baca respon pembaca hukum viralkan orang yang berhutang di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media