Hukum Solat Dengan Pakaian Terkena Najis

SOALAN 

Ohmedia yakin ada di kalangan kita pernah menghadapi situasi di mana terdapat najis pada pakaian yang kita pakai semasa solat. Walaubagaimanapun, kita hanya sedar najis itu ada selepas selesai solat. Jadi, adakah solat kita sah?

JAWAPAN 

Di antara syarat sah solat ialah suci pakaiannya dari najis yang tidak dimaafkan. Maka siapa yang solat dengan pakaian yang terkena najis yang tidak dimaafkan dan dia sedar perkara itu selepas dari solat nescaya wajib dia ulangi akan solat tersebut jika masih di dalam waktu.

Ada pun jika sudah habis waktu solat maka wajib dia qadha termasuk semua solat yang dia yakin memakai pakaian yang terkena najis itu.

Berkata Imam Nawawi :

إِذَا صَلَّى وَعَلَى ثَوْبِهِ أَوْ بَدَنِهِ أَوْ مَوْضِعِ صَلَاتِهِ نَجَاسَةٌ غَيْرُ مَعْفُوٍّ عَنْهَا، وَهُوَ لَا يَدْرِي، فَإِنْ لَمْ يَكُنْ عَلِمَهَا وَجَبَتِ الْإِعَادَةُ عَلَى الْأَظْهَرِ.
وَإِنْ عَلِمَهَا ثُمَّ نَسِيَهَا وَجَبَتْ قَطْعًا، وَقِيلَ: عَلَى الْقَوْلَيْنِ، وَإِذَا أَوْجَبْنَا الْإِعَادَةَ، وَجَبَتْ إِعَادَةُ كُلِّ صَلَاةٍ تَيَقَّنَ أَنَّهُ صَلَّاهَا مَعَ النَّجَاسَةِ، وَإِذَا احْتَمَلَ أَنَّهَا حَدَثَتْ بَعْدَمَا صَلَّى فَلَا شَيْءَ عَلَيْهِ.


Artinya : “Apabila seorang itu solat dalam keadaan pada pakaiannya atau badannya atau tempat dia bersentuh ketika solatnya itu ada najis yang tidak dimaafkan daripadanya dan pada hal dia tidak menyedarinya maka jika sebelumnya dia tidak mengetahuinya nescaya wajib dia ulangi solat menurut qaul yang azhar. Dan jika dia sudah tahu kemudian dia lupakannya maka wajib qadha tanpa khilaf dan kata setengahnya atas dua qaul.
Dan apabila kami telah wajibkan dia ulangi solat itu maka wajib pula dia ulangi semua solat yang dia yakini bahawa dia solat dengan pakaian yang terkena najis itu.
Dan apabila berkemungkinan berlaku kena najis itu selepas solat maka tiada wajib apa suatu atasnya.” (Kitab Raudhah At-Talibin)


KESIMPULAN


Jika yakin seorang itu bahawa dia telah mengerjakan solat dengan memakai pakaian yang terkena najis yang tidak dimaaf nescaya wajib dia ulangi semua solat yang telah dia kerjakan dengan pakaian tersebut.

Jika dia ragu adakah najis itu kena pada pakaiannya sebelum memberi salam dari solat atau selepas memberi salam maka tidak wajib dia ulangi akan solat kerana mungkin najis itu kena selepas memberi salam.

Wallahua’lam

Kredit: Ustaz Azhar Idrus

+ Baca respon pembaca hukum solat dengan pakaian terkena najis di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media