Pak Mat selepas menerima hak milik tanah. |
Oleh : Mohd Zukifli Mat
KUALA NERUS, 3 Julai - Penduduk Jeram Hilir, Ahmad Ngah, 76, tidak menyangka impiannya untuk memiliki tanah pemberian kerajaan sejak 17 tahun lalu akhirnya tercapai.
Dia yang lebih mesra disapa sebagai Pak Mat merupakan antara 69 rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, menerima borang hak milik tanah daripada kerajaan negeri kelmarin.
Ujar Pak Mat, tiada perkataan boleh diungkapkannya kecuali Alhamdulillah hasil kesabaran menunggu selama hampir dua dekad.
"Akhirnya impian saya untuk memiliki geran tanah sendiri selepas segala urusan pada pagi ini selesai, terus-terang saya merasa sangat gembira kerana sudah menunggu bagi tempoh yang lama untuk memilikinya.
"Saya ingin ucapkan terima kasih khusus kepada kerajaan dan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kehendak rakyat,” katanya ketika ditemui media di dewan Stadium Tertutup, Gong Badak di sini.
Hishammuddin Abdul Karim. |
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Samsuri atas komitmen untuk mengembalikan hak rakyat.
"Satu komitmen yang sangat padu sebenarnya untuk menjayakan hasrat kepada peserta-peserta 'terkilan' sejak dari zaman pemerintahan tahun 1999 hingga 2004.
"Ini adalah fasa pertama proses tanah terkilan untuk melunaskan manifesto PAS dalam PRU yang lalu," jelasnya.
Menurut Hishamuddin, beliau amat tersentuh apabila melihat peserta menerima geran tanah dengan linangan air mata tanda kesyukuran.
"Walaupun berdepan dengan pelbagai kesulitan, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk membuka jalan kesenangan dan kemudahan buat pihak yang lain.
"Insya-Allah fasa kedua bakal menyusul sedikit masa nanti untuk peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Padang Nenas.
"Memang kami memerlukan sedikit masa kerana kawasan asal telah diwartakan sebagai Bandar Baharu Kuala Nerus. Tentunya lokasi lain sedang diteliti untuk tujuan ini," tambah beliau.
Ahmad Samsuri menyampaikan hak milik tanah kepada penerima yang layak. |
Untuk rekod, daripada 69 penerima borang Jadual 5A, seramai 13 orang adalah mereka yang dinafikan sejak belasan tahun dahulu.
Sumber: teganukita.net