Wanita Perlukan Kesedaran Awal Tentang Kanser Payudara

Dr. Farhaana melakukan pemeriksaan kesihatan ketika program ziarah.

Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Kanser payudara perlu dikesan di peringkat awal kerana peluang untuk sembuh lebih tinggi jika dikesan di peringkat pra kanser atau di peringkat kanser tahap awal.

Pengamal perubatan, Dr Farhaana Husainy Hasbullah menyatakan, kanser payudara merupakan kanser nombor satu dalam kalangan wanita.

Justeru, beliau menyeru agar para wanita  agar tidak memandang enteng akan penyakit ini kerana kanser payudara ini boleh menjadi ‘Pembunuh Senyap’ kepada kaum wanita.

"Para wanita digalakkan untuk melakukan kaedah Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) sebulan sekali.

"Malangnya lebih 40% daripada pengidapnya hanya mengesan penyakit tersebut pada tahap lewat iaitu tahap 3 dan 4," katanya.

Beliau yang juga merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata ketika menziarahi seorang pengidap kanser payudara dalam satu program ziarah kebajikan yang diadakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk, baru-baru ini.

Nasihatnya lagi, bagi wanita yang mempunyai sejarah kanser payudara dalam kalangan ahli keluarga terdekat disarankan untuk membuat saringan mamogram untuk mengesan kanser tersebut.






Sumber: teganukita.net