'Tiada Tempat Buat Pesalah Minuman Keras Di Terengganu'

Setiap premis diperiksa bagi mengelakkan penjualan arak kepada individu Islam.


Oleh : Aslam Wira

MARANG, 16 Jun - Pertubuhan Amal Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad AMAR) mengulangi ketegasan mereka untuk membanteras individu Islam yang terlibat dengan arak di daerah dan negeri ini.

Penasihatnya, Yusuf Abdul Hadi berkata, tindakan memberi amaran disusuli pencegahan kepada 'kumpulan' terbabit sedang dipertingkatkan di beberapa lokasi sasaran.

"Malam ini kita turun ke Pulau kapas untuk 'mencari' mereka yang beragama Islam selepas mendapat laporan dan juga hasil pemantauan yang dilakukan sebelum ini.

“Kita telah memeriksa setiap premis dan chalet yang beroperasi di sini, kita berikan amaran serta penjelasan terhadap kesalahan jenayah syariah (minuman keras) yang salah di sisi agama Islam," tegasnya.

Yusuf Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi tersebut di sini semalam.

Turut terlibat adalah wakil Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Marang, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Ahli Majlis Daerah Marang dan Sukarelawan Penguatkuasa Syariah.

Mengulas lanjut Yusuf berkata, pemantauan dan amaran berterusan akan dijalankan supaya setiap individu muslim lebih jelas dan mengambil serius terhadap undang-undang kesalahan jenayah syariah.

“Kita akan memantau lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti secara berterusan dan meletakkan 'mata-mata' sebagai pemberi maklumat supaya tindakan tegas dapat diambil pada masa akan datang, bukan sahaja di Pulau Kapas, malah seluruh kawasan Marang khususnya dan Terengganu amnya.

“Skuad AMAR juga berharap agar negeri kita mendapat keberkatan dan usaha yang dijalankan ini mendapat ganjaran daripada Allah SWT,” tambahnya lagi.





Sumber: teganukita.net