Mohd Rashid (berbaju hijau) tersenyum ketika menerima sumbangan mesin tebu dalam program ziarah. |
Oleh : Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Mohd Rashid Kadir, 64, mengalirkan air mata kesyukuran apabila permintaannya untuk memiliki mesin tebu ditunaikan.
Rancangan warga emas itu untuk memulakan perniagaan air tebu bagi menampung pendapatan keluarga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar yang menghadiahkan sebuah mesin tebu sebagai menyokong hasratnya.
Menurut Rashid, sebelum ini mereka sekeluarga telah hilang punca pendapatan berikutan dirinya menghidap penyakit jantung, kencing manis dan buah pinggang.
"Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada YB Dato' Ku atas sumbangan mesin tebu ini.
"Insya-Allah, saya berharap semoga perniagaan yang bakal saya mulakan ini mencukupi untuk menampung keperluan kami sekeluarga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya sewaktu kunjungan Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Zaim Azfar dalam program ziarah cakna di kawasan Ladang, baru-baru ini.
Dalam kunjungan berkenaan, Zaim menyampaikan sumbangan mesin tersebut mewakili ADUN Ladang yang turut dihadiri oleh Pengerusi dan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Penaga.
Sumber: teganukita.net