Wan Sukairi Wan Abdullah ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman hari ini. |
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia ditetapkan berikutan beberapa faktor terutama disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.
Katanya, program LMTS dilanjutkan sehingga 31 Ogos 2020 bermula sekarang selepas terhenti seketika sepanjang tempoh fasa PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
"Atas beberapa sebab termasuk berlaku PKP, ia menyukarkan peserta menjalani ujian dan latihan mendapatkan lesen.
"Bagaimanapun alhamdulillah, dengan beberapa kelonggaran yang diberikan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), peserta dibenarkan meneruskan program LMTS ini.
"Justeru saya menyeru agar peserta-peserta yang menerima surat tawaran mendapatkan lesen motosikal percuma ini berbuat demikian secepat mungkin di Institut Memandu (IM) daerah masing-masing," katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Iman hari ini.
Sehingga hari ini, beliau memaklumkan, jumlah peserta yang masih belum menyempurnakan program LMTS adalah seramai hampir 7,000 orang merangkumi semua daerah.
"Sebaik sahaja tamat tarikh pada Ogos ini, kita akan menutup penyertaan kepada peserta LMTS 2019 dan membuka penyertaan kepada peserta LMTS 2020 pula. Peluang tidak akan dibuka lagi selepas penyertaan ditutup.
"Ini kerana tempoh satu tahun lebih adalah peluang yang sangat lama diberikan kerajaan negeri kepada peserta-peserta.
"Kita mengharapkan agar mereka lebih serius mengambil peluang ini dan dapat mengikuti program sehingga berjaya," tegasnya.
Sumber: teganukita.net