"Tepoh Cakna" Aplikasi Penghubung Suara Rakyat Tepoh



Oleh : Mohd Zukifli Mat

KUALA  NERUS, 4 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh buat julung kalinya memperkenalkan sebuah aplikasi pengguna iaitu 'Tepoh Cakna' bertujuan untuk memudahkan aduan dibuat oleh penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata melalui aplikasi ini ianya akan memudahkan rakyat mengadu pelbagai masalah rakyat berkaitan jalan rosak, sistem perparitan, longkang dan seumpamanya.

"Sistem ini tidak bererti menutup terus kaedah manual melalui perantaraan dan pejabat PKM. Ia akan bergerak seiring malah akan berlaku pemusatan aduan dan tindakan.

"Kami juga mengalu-alukan aduan bersifat kesusahan yang dialami kejiranan komuniti untuk pihak kami segerakan siasatan," katanya ketika ditemui pihak media pada hari ini.

Aplikasi itu telah dilancarkan pada hari ini  secara langsung di laman media sosial facebook beliau pada jam 3 petang.

Dengan memperkenalkan aplikasi berkenaan ini, katanya aduan rakyat secara manual tidak dihentikan malah tetap diteruskan.

"Aplikasi ini akan menjadi satu pakej tambahan untuk mempermudahkan urusan aduan rakyat.

"Kaunter aduan rakyat di PKM dibuka sepertimana biasa dan aduan terus melalui pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga berlangsung seperti biasa,"ujarnya lagi.

Melalui aplikasi berkenaan,  Hishamuddin berkata, pengadu boleh melihat status perkembangan setiap aduan samada ia diselesaikan atau sedang diambil perjalanan oleh pihak berwajib.

"Buat masa ini, aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store sahaja. InsyaAllah, proses permohonan untuk pengguna IOS telah dipanjangkan," katanya.

Justeru itu, beliau berharap  kewujudan aplikasi ini membuahkan hasil yang lebih baik buat seluruh rakyat di dalam kawasan ini.



Sumber: teganukita.net