SOALAN
Ohmedia dapat rasakan ada di kalangan isteri yang tidak dapat keluar ke rumah dan berhubung dengan orang tua kerana tidak mendapat izin suami. Jadi, adakah isteri boleh keluar menjenguk orang tua semasa suami tiada di rumah walaupun tidak mendapat izin suami?JAWAPAN
Sebagai seorang suami memang mempunyai hak melarang isterinya keluar dari rumah walau pun hendak pergi ke rumah orang tuanya.Jika suami melarang atau tidak memberi izin maka tidak harus isterinya itu keluar akan tetapi sebagai suami yang baik dan bertimbang rasa hendaklah membenarkan isterinya keluar ziarah akan kedua orang tuanya dan sanak saudaranya.
Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari :
وللزوج منع زوجته من عيادة أبويها ومن شهود جنازتهما وجنازة ولدها، والأولى خلافه
Artinya : “Dan harus bagi suami menegah isterinya dari keluar ziarah kedua orang tuanya dan hadir kematian keduanya dan anaknya. Dan yang eloknya ialah membenarkan isterinya keluar.” (Kitab Asnal Matalib)
Akan tetapi suami tidak boleh menghalang isterinya berhubung atau bercakap dengan kedua orang tuanya dan suami tidak berhak menghalang ibu bapa isteri datang berjumpa dengan isterinya melainkan jika ada padanya mudarat maka tidak mengapa suami menghalangnya.
Berkata Syeikh Athiyah Saqr :
وذهب الشافعية والحنابلة إلى أن له أن يمنعها، ويلزمها طاعته، فلا تخرج إليهما إلا بإذنه، لكن ليس له أن يمنعها من كلامهما ولا من زيارتهما لها، إلا أن يخشى ضررا بزيارتهما، فيمنعهما دفعا للضرر. عطية صقر فتاوى الأزهر
Artinya : “Dan telah berjalan oleh mazhab Syafie dan mazhab Hanbali kepada harus suami menghalang isterinya dan wajib isterinya taat dan isteri tidak keluar ke rumah dua orang tuanya melainkan dengan izinnya. Akan tetapi tidak boleh bagi suami menegah isterinya itu dari bercakap dengan kedua orang tuanya dan tidak boleh menghalang kedua orang tua isteri menziarahi isterinya melainkan jika dibimbangi ada kemudaratan dengan sebab ziarah kedua orang tuanya itu maka haruslah suami menghalang keduanya kerana menolak mudarat.” (Fatawa Al-Azhar)
Kesimpulan
Suami mempunyai hak melarang isterinya keluar dari rumah tanpa izin pada perkara yang bukan darurah sekalipun menziarahi ibu bapanya atau sanak saudaranya.Suami tidak berhak melarang isterinya berhubung atau bercakap dengan dua ibu bapanya.
Suami juga tidak berhak melarang ibu bapa atau sanak saudara isteri datang ziarah isterinya.
Suami yang bertimbang rasa dan elok kelakuan dan adabnya tidak akan melarang isterinya keluar ziarah akan ibu bapanya dan sanak saudaranya.
Wallahua’lam
Kredit: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca respon pembaca suami tidak benarkan isteri berjumpa ibu bapa di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media