Ariffin Deraman (kanan) menggunakan sistem Masuk.la untuk rekod kehadiran beliau di KTCC Mall hari ini. |
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sistem Masuk.la merupakan sebuah aplikasi sesawang yang dibangunkan untuk memudahkan proses merekodkan kehadiran pelanggan khususnya rakyat Terengganu.
"Pengguna boleh merekodkan kehadiran ke premis-premis kerajaan, rumah-rumah ibadat dan juga premis perniagaan melalui sistem ini. Dengan itu urusan mengambil data pengunjung akan menjadi jauh lebih tepat dan mudah.
"Sistem ini merupakan sistem keluar dan masuk pelanggan di premis-premis menggunakan teknologi kod QR (bar code) yang ringkas. Ini kerana pengusaha premis perniagaan cuma perlu mendaftarkan premis untuk mendapatkan kod QR dan paparkan di premis perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media sempena Majlis Pelancaran Sistem QR Code (Masuk.la) di KTCC Mall di sini hari ini.
Tambahnya, pengunjung pula hanya perlu imbas kod QR bagi mengesahkan kehadiran mereka. Pendaftaran pengunjung dan pendaftaran premis perniagaan boleh dilakukan menerusi laman web https://masuk.la/.
"Pengunjung premis dan pemilik perniagaan hanya perlu melayari web www.masuk.my untuk melakukan imbasan kod QR tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan lain," ujarnya.
Pada masa sama, Ariffin turut memberitahu, sistem Masuk menggantikan kaedah penggunaan buku pendaftaran secara manual kepada automatik. Ia sekali gus meningkatkan kepantasan dan kecekapan pendaftaran pengunjung di premis-premis awam dan perniagaan.
"Segala data yang direkodkan ini akan digunakan oleh pihak pengurusan sekiranya terdapat kes COVID-19 yang aktif. Melalui inisiatif ini, semua pengunjung ke premis-premis yang terlibat dapat dikesan dan dihubungi dengan mudah dan pantas," jelasnya.
Lebih menarik, pihak urusetia menyediakan cabutan bertuah bagi penguna sistem bar code Masuk.la. Penilaian akan bermula 20 Jun sehingga 20 Julai 2020 di mana penguna yang bertuah akan terpilih daripada kalangan penguna yang mendaftar ke dalam sistem Masuk.
Pemenang berpeluang memenangi sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, motosikal Honda Beat atau iPhone XR.
Sumber: teganukita.net