Allahyarham Mohamed Salahudin. |
Setiap yang hidup pasti akan mati. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim meluahkan, cara pemergian Allahyarham Mohamed Salahudin Shahabudin, amat ‘dicemburui’ oleh setiap orang yang beriman.
Mohamed Salahudin atau dikenali ‘Din Brothers’, 54, adalah pemilik Syarikat Din Collection, Perniagaan Alat Tulis Din Brothers dan Din Mega di Kuala Terengganu. Allahyarham meninggal dunia ketika sedang sujud solat tahajud selepas lima hari menerima rawatan di Hospital Gleneaglas, Kuala Lumpur, 17 Jun lalu.
Beliau yang merupakan Pengerusi Persatuan India Muslim dan Kongres India Muslim Melayu (Kimma) Terengganu, sangat dikenali dengan sifat dermawannya.
Zulkifli (kanan), sewaktu menziarahi keluarga allahyarham. |
Ahmad Amzad yang masih di Putrajaya atas urusan kementeriannya ketika itu, sempat menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham melalui Pegawai Perhubungan dan Kebajikan Parlimennya, Zulkifli Wahab yang menziarahi keluarganya, di Taman Padang Negara, di sini.
Menurutnya, Salahudin dikenali seorang yang sangat pemurah, dermawan dan banyak melakukan kerja-kerja kebajikan membantu golongan susah.
“Saya dimaklumkan, sepanjang hayat Allahyarham tidak pernah jemu menghulurkan sumbangan bagi kerja-kerja kebajikan terutama melibatkan pembinaan dan perbelanjaan madrasah, pusat tahfiz serta rumah anak-anak yatim.
“Dikatakan juga, antara sikap terpuji beliau ketika hidupnya suka merahsiakan derma atau sumbangan yang disalurkan dan tidak pernah ada sikap menunjuk-nunjuk atas jasa yang ditabur,” jelasnya.
Justeru, pemergian Allahyarham Salahudin itu amat dirasai kehilangannya kerana jasa dan kebaikan itu.
Jenazah Allahyarham Mohamed Salahudin tiba dari Kuala Lumpur jam 4.30 petang 17 Jun, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu.
Sumber: teganukita.net