Pulau Kekabu Kini Dibuka dengan Norma Baharu



Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 17 Jun - Destinasi Peranginan dan Perlancongan di daerah Marang antaranya Pulau Kapas dan Pulau Kekabu mula dikunjungi orang ramai sebaik dibuka mulai 5 Jun lalu.

Tinjauan mendapati hampir setiap hari terutama hujung minggu jumlah pengunjung terutama yang datang bersama keluarga akan meningkat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Muhammad Huzaili Nizam Ibrahim berkata, melihat keadaan itu, MDM  bersama beberapa pihak berkepentingan lain mengambil beberapa langkah tertentu agar pengunjung patuh dengan  Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika bersantai.

Antaranya menempatkan beberapa anggota penguatkuasa MDM pada hari tertentu, termasuk Jumaat dan Sabtu bermula seawal jam  7.00 pagi - 6.00 petang.

“Langkah ini diambil bagi memastikan pengunjung mengamalkan penjarakan sosial dan mengelakkan daripada berkumpul secara beramai-ramai, melebihi jumlah yang dihadkan.


“Pihak kami akan sentiasa memerhati serta menegur mana-mana yang melanggar SOP dan jika ingkar mereka boleh dikenakan saman,” katanya ketika dihubungi pemberita UPDI.

Menurutnya, sebarang aktiviti yang bersentuhan seperti bermain bola pantai masih dilarang sama sekali.

“Jika mahu 'Barbeque' (BBQ) perlu mendapat kebenaran daripada pihak MDM terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, pengunjung daripada Felda Chini, Pekan Pahang, Mustafa Kamal Saabayuddin, 39 ketika ditemui berkata  dia dan keluarga sangat teruja dapat menikmati udara segar di sini selepas sekian lama berkurung di rumah.

Syafiq Hakimi Abu Bakar, 17, pelajar SMK Pengkalan Berangan pula berkata dia dan kawan-kawan datang ke Pulau Kekabu untuk berjoging tetapi SOP pencegahan Covid-19 tetapi beliau tidak lupa untuk amalkan seperti memakai penutup muka dan hidung.

Sumber: teganukita.net