Pendaratan Penyu Di Terengganu Naik 70 Peratus


KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Rantau Abang di Dungun merekodkan peningkatan jumlah pendaratan penyu sebanyak 3,783 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Ketua PKPP Rantau Abang Mohammad Firdaus Abdillah berkata ia adalah peningkatan hampir 70 peratus berbanding 2,573 pendaratan penyu dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Kami tidak menolak kemungkinan bahawa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas telah meningkatkan pendaratan penyu di Terengganu kerana kurangnya gangguan di pantai sepanjang tempoh berkenaan.

"PKP ini tidak boleh dijadikan parameter ukuran kerana ianya baru terjadi pada tahun 2020 dan tidak boleh dijadikan rujukan disebabkan tiada PKP sebelum ini yang telah berulang.

"Selain itu, pantai pendaratan penyu utama di negeri Terengganu sememangnya telah diletakkan notis larangan orang awam berada di pantai bermula pukul lima petang sehingga lapan pagi. Oleh itu, perubahan trafik orang awam ke pantai sangat minimum sama ada sebelum atau sepanjang tempoh PKP.

"Bagaimanapun, impak PKP sangat positif terutama di pulau-pulau peranginan kerana trafik bot pelancong berkurangan dengan mendadak dan kesannya dapat dilihat dengan berkurangnya laporan kematian penyu kerana terkena kipas bot," katanya kepada Bernama semalam.

Daripada jumlah 3,783 pendaratan itu, 3,780 adalah pendaratan penyu Agar manakala tiga lagi adalah pendaratan penyu Karah.

Dalam pada itu, Mohammad Firdaus berkata berdasarkan rekod dan kerja pemuliharaan penyu yang telah dijalankan sejak tahun 1990-an yang mana beberapa tempat telah dijadikan pusat pemuliharaan penyu, pihaknya tidak menolak kemungkinan anak penyu yang telah ditetaskan pada tahun 2000 telah mula naik mendarat pada tahun ini setelah mencapai tempoh matang untuk bertelur.

"Jika perkara ini benar, maka, lambakan penyu akan bermula tahun 2020 dan akan terus menerus meningkat untuk tahun-tahun mendatang.

"Pendapat ini juga berasaskan kepada pendaratan di Pulau Redang yang bermula pada tahun 1993 dan berlaku peningkatan pendaratan penyu pada tahun 2013 iaitu selepas 20 tahun program pemuliharaan dilaksanakan," katanya. -Bernama




Sumber: teganukita.net