OKU Jaga Ibu Sakit Saraf


Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 27 Jun - Walaupun bergelar orang kelainan upaya (OKU), kekurangan diri tidak menjadi penghalang kepada seorang pemuda untuk menjaga ibu tercinta yang menderita sakit saraf semampunya.

Md Shamsuddin Ramli, 42, OKU pekak dan bisu mampu menjaga ibunya yang tidak dapat berjalan sejak setahun lalu.

Semasa kunjungan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood ke rumahnya di Kampung Delong kediaman tersebut kelihatan terurus rapi.

"Semuanya dialah buat, menyapu, basuh kain, lipat kain dan memasak, dia pandai buat semua sebab dia bersekolah," cerita ibunya, Nek Mohd, 77 yang bergerak dengan bantuan tongkat.

Nek atau lebih mesra dipanggil Mak Nek  ditemui wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika rutin ziarah mingguan isteri YB Alias Harun di rumahnya baru-baru ini.


Katanya, Shamsuddin yang bersekolah di Program Pemulihan  Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Merah, Padang Pulut bukan sahaja pandai mengurus diri sendiri malah menjaganya dengan baik.

Menurut Mak Nek, anak kelapan daripada sembilan beradik itu menjadi pekak dan bisu selepas demam panas semasa kecil.

"Dia juga suka bercucuk tanam dan kerja-kerja pertukangan tangan," ujar warga emas itu sambil menunjukkan kerja tangan anaknya.

Sumber: teganukita.net