MPKK DUN Kijal Mengisi Tabung Darah

Salah seorang wakil MPKK DUN Kijal menyertai kempen derma darah semalam.
Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 9 Jun - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar menyahut Kempen Jom Derma Darah yang dianjurkan oleh Hospital Kemaman.

Seramai 17 orang wakil MPKK menyertai kempen tersebut termasuk Timbalan Pengerusinya, Zawawi Mohamed di Unit Transfusi Darah Hospital Kemaman semalam.

Beliau ketika ditemui berkata, program sebegini wajar dijadikan sebagai tanggungjawab sosial bagi setiap individu untuk membantu mereka yang memerlukan darah.


"Selain daripada kita dapat membantu pesakit yang memerlukan terutama pesakit yang kehilangan darah akibat kemalangan jalan raya, ianya juga dapat mengurangkan risiko menghidap penyakit seperti gout," katanya.

Zawawi yang juga Pengerusi Kebajikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata, tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah masih rendah.

"Insya-Allah kita akan gerakkan masyarakat sekitar terutama di DUN Kijal supaya amalan ini dijadikan satu kemestian kepada setiap individu," ujar beliau.

Beliau menyeru agar setiap MPKK menyahut cabaran itu bagi membantu memenuhi keperluan darah di setiap hospital.

"Kita akan jadikan program menderma darah ini sebagai program tahunan oleh jawatankuasa Kebajikan DUN Kijal bagi mendedahkan masyarakat tentang kepentingannya," ujarnya.

Sumber: teganukita.net