Masjid, Surau Di Terengganu Kembali Meriah


Suasana sebelum solat Jumaat di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang. Foto oleh - Aslam Wira.

KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Selepas lebih tiga bulan, masjid dan surau di negeri ini ditutup sepenuhnya sebelum dihadkan kepada beberapa ahli kariah, hari ini ia kembali diimarahkan semula dengan kehadiran orang awam seperti sebelum COVID-19 melanda negara.

Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di beberapa buah masjid dan surau mendapati ramai jemaah hadir ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah.

Ia bermula pada tengah hari tadi apabila rakyat Terengganu berpusu-pusu hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Pada sebelah malam pula, kehadiran jemaah untuk solat Maghrib dan Isyak tidak kurang hebatnya.

Rata-rata mereka seolah-olah mahu melepaskan kerinduan solat berjemaah di masjid dan surau.

Solat Isyak di Masjid Tempinis, Jabi. Foto Oleh - Hidayah Azlin.

Hampir kesemua jemaah yang hadir dilihat turut membawa sejadah masing-masing, menjalani saringan suhu badan dan mendaftar masuk sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Selasa lalu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid serta surau bermula hari ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan selepas mendapat pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua Polis Negeri dan Majlis Keselamatan Negera (MKN) Negeri Terengganu.

“Ia juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan kerajaan, maka kita bersetuju untuk memperluaskan kebenaran solat Jumaat kepada semua masjid dalam negeri Terengganu," kata Osman.







Sumber: teganukita.net