Mangsa Motosikal Terbakar Terharu Terima Sumbangan


Oleh : Mohd Rizauddin

DUNGUN , 9 Jun - "Saya sungguh terharu dengan sumbangan motosikal yang saya dapat ni. Terima kasih banyak ustaz. Saya doakan semoga Allah permudahkan segala urusan ustaz dan semua kakitangan Pejabat Parlimen Dungun," ujar Mohammad Radzi Mohamed.

Mohamad Radzi, 65, merupakan pemilik sebuah motosikal yang musnah terbakar di Bangunan Salwa, Sura Gate, pada 7 April lalu.

Katanya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu dia berada di bilik sewanya di tingkat tiga bangunan tersebut selepas baru 10 minit pulang dari kedai runcit.


Mohamad Radzi berkata, dia tetap redha dengan dugaan yang dihadapi walaupun kejadian berkenaan menyebabkan satu-satunya kenderaan miliknya lenyap sekelip mata.

Bagaimanapun, sukar untuk digambarkan perasaannya apabila memperoleh sebuah motosikal baharu hasil sumbangan Pejabat  Ahli Parlimen Dungun serta pihak kedai Aroma Kitchen yang turut mengadakan kutipan derma untuk menggantikan motosikalnya yang terbakar.

"Sekali lagi saya nak ucapkan terima kasih. Saya memang tidak menyangka Allah kurniakan rezeki sebegini kepada saya. Terima kasih juga kepada Aroma Kitchen kerana turut serta mengadakan kutipan derma. Semoga Allah membalas jasa kalian semua" ujarnya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan itu di Tenox Motorbikes, di sini, semalam.


Penyerahan motosikal tersebut dilakukan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dengan disaksikan pemilik Aroma Kitchen sendiri, Jamilul Khairi Abd Rasid serta rakan kongsinya, Azidy Abdul Hadi.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, inisiatif yang dilakukan oleh pihak Aroma Kitchen itu adalah satu contoh terbaik bagi anak muda.

Beliau juga menggalakkan agar lebih ramai lagi anak muda di Dungun khususnya terlibat dengan kerja-kerja kebajikan seperti yang dilakukan oleh mereka berdua.

Sumber: teganukita.net