Kerajaan Negeri Beri Ganjaran Kepada Aiman

Aiman. Foto ihsan - Cycling Malaysia.

KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan bentuk ganjaran kepada pelumba basikal, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang mengharumkan nama negara dan Terengganu pada kempen Le Tour de Langkawi (LTdL) PETRONAS Februari lalu.

Pada saingan berbasikal berprestij itu, anak jati Terengganu kelahiran Setiu ini berjaya memenangi jersi merah selaku raja bukit pertama negara dalam sejarah perlumbaan itu yang sudah memasuki edisi ke-25.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan tidak akan sesekali melupakan atlet negeri yang pernah mengharumkan nama negara dalam apa-apa jenis sukan.

Katanya, kerajaan negeri tetap memberi perhatian kepada atlet berkenaan sekali gus mampu memberi motivasi kepada mereka untuk terus meraih kejayaan lebih membanggakan pada masa akan datang.

"Kerajaan negeri akan berbincang terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan bentuk ganjaran yang bakal diberikan kepada pelumba muda dari Setiu itu.

"Dalam masa yang sama kita harap Aiman bersabar dan teruskan latihan serta menyertai kejohanan seperti biasa selepas negara kembali pulih daripada penularan wabak pandemik COVID-19 ini," katanya sebagaimana dilapor Berita Harian.

Wan Sukairi.

Wan Sukairi menjelaskan, pelumba berpontensi itu akan terus dirai dan dihargai sebagaimana atlet lain.

"Macam pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), kita sudahpun meraikan mereka di sini sebaik berakhir kejohanan itu di Langkawi, Februari lalu," katanya.

Untuk rekod, pelumba berusia 23 tahun itu sebelum ini pernah menyarung jersi pasukan TSG dan menjulang beberapa kejuaraan bersama TSG.






Sumber: teganukita.net