Hukum Bercakap Ketika Mengambil Wuduk


SOALAN


Ohmedia dapat rasakan ada di antara kita yang mengalami situasi nama dipanggil ketika sedang mengambil wuduk. Antaranya ketika kita sedang mengambil wuduk dalam bilik mandi dan ada orang yang mengetuk pintu sambil memanggil nama sehingga membuatkan kita balas semula kata-katanya. Jadi, apakah hukum bercakap atau berbual ketika mengambil wuduk?

JAWAPAN 


Hukum bercakap ketika sedang mengambil wuduk adalah makruh jika tiada hajat dan wuduknya itu sah maka disunatkan seorang itu meninggalkan bercakap dan berbual ketika mengambil wuduk.

Ada pun jika bercakap kerana hajat maka hukumnya adalah harus tidak makruh.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar pada kitab Minhajul Qawwim :

وأن لا يتكلم في جميع وضوئه


Artinya : “Dan sunat bahawa tidak berkata-kata pada sekelian wuduknya.”


Dan tersebut pada kitab I’anah At-Talibin :

(قوله: وترك تكلم) أي ويسن ترك تكلم. (قوله: في أثناء وضوئه) أي في خلال وضوئه
قوله: بلا حاجة) أي بلا احتياج للكلام، أما معها كأمر بمعروف ونهي عن منكر فلا يتركه، بل قد يجب الكلام، كما إذا رأى نحو أعمى يقع في بئر


Artinya “ Maksud meninggalkan berkata-kata itu ialah disunatkan meninggalkan bercakap pada ketika sedang mengambil wuduk.


Dan maksud tanpa hajat itu ialah bercakap tanpa keperluan.

Ada pun bercakap kerana ada keperluan seperti menyuruh perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran maka jangan meninggalkannya bahkan terkadang wajib seperti apabila orang yang sedang berwuduk melihat orang buta yang berjalan menuju ke perigi.”


Kesimpulan


Bercakap atau berbual ketika berwuduk itu makruh dan tidak haram tetapi meninggalkan bercakap ketika wuduk itu adalah adab yang baik.

Jika ada keperluan maka harus bercakap ketika berwuduk.

Wallahua’lam

Kredit: Ustaz Azhar idrus
Sumber: Oh! Media