Hotel-Hotel, Resort, Houseboat Dan Homestay Terengganu Dibuka Semula

Ariffin Deraman ditemui pemberita pada sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan Terengganu membenarkan sebahagian aktiviti pelancongan di negeri Terengganu termasuk membuka semula semua hotel, resort, houseboat dan homestay, dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri pada masa ini juga sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif pelan pemulihan agar sektor pelancongan dapat dipulihkan.

"Kita mengharapkan sektor pelancongan dapat kembali menjadi tulang belakang kepada ekonomi rakyat di negeri ini.

"Justeru kerajaan negeri bersetuju membuka semula semua hotel, resort, houseboat dan homestay yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan homestay di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Semua aktiviti pelancongan seperti selam skuba, snokerling, hiking, aktiviti bot di pulau dan tasik, paragliding, perkhemahan, riadah, membeli belah, aktiviti Taman Eco Rimba dan lata rekreasi juga dibenarkan mulai 15 Jun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, kerajaan turut membenarkan aktiviti jualan tiket, aktiviti bot, restoran dan jualan umum di jeti-jeti ke pulau-pulau peranginan di dalam negeri Terengganu dan juga di Tasik Kenyir.

"Kebenaran adalah termasuk membuka semula Tasik Kenyir dan hotspot kawasan pelancongan di Tasik Kenyir seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Taman Herba bermula 12 Jun ini.

"Taman Tamadun Islam (TTI), Draw Bridge Tower, Zoo Kemaman dan lain-lain tempat
lawatan umum juga dibuka manakala muzium negeri dibuka pada 16 Jun dan muzium-muzium daerah, Rumah Warisan Haji Su, Kota Lama Duyong turut dibuka secara berperingkat," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan agensi dan jabatan yang terlibat memainkan peranan penting agar garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dapat dipatuhi dan diamalkan agar wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya walaupun dengan kelonggaran yang telah dibenarkan.

"Pematuhan SOP dan 'new normal' ini akan memastikan pelancong boleh bercuti ke negeri Terengganu dengan selamat dan yakin ke mana-mana tempat-tempat ingin mereka lawati," ujarnya.

Terdahulu Kerajaan Pusat mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini hingga 31 Ogos bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.



Sumber: teganukita.net