Badan Legislatif Wajar Dipertingkatkan - Yahaya Ali


Oleh : Rohayati Ripin

PUTRAJAYA, 2 Jun - Kerajaan negeri berpendapat Badan Legislatif amat penting dipertingkatkan sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperkasakan peranannya.

Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, ia merupakan salah satu perkara penting yang perlu diambil kira.

Kata beliau, kunjungannya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Takiyuddin Hassan disifatkan amat bermakna dan penting.

"Selain dari dapat mengikuti perkembangan semasa politik nasional banyak perkara yang dibincangkan terutama mengenai kepentingan meningkatkan wibawa badan legislatif, sama ada di peringkat Parlimen mahupun DUN,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat kunjungan hormat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato' Takiyuddin Hassan di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata Yahaya, beliau turut mengesyorkan agar dapat diadakan Persidangan Speaker-Speaker seluruh Malaysia secara maya walaupun dalam suasana PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) menghadapi Covid-19.

"Meskipun sebagai 'menteri baharu' yang diberi tanggungjawab yang luas oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin) bagi mengurus dan memantau pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

"Saya yakin dengan kewibawaan dan pengalaman beliau (Takiyuddin) dapat menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang, Insya’Allah,” jelasnya.

Terdahulu, kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik tiga Menteri dan lima Timbalan Menteri daripada PAS.

Selain dari Dato’ Takiyuddin, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Manakala, lima lagi pemimpin PAS dilantik sebagai Timbalan Menteri iaitu Ahmad Marzuk Shaary sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Ini termasuk Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia), Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff  (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga), Ahmad Amzad Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi sebagai Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan.

Sumber: teganukita.net