Dr. Farhaana bersama pegawai Pusat Khidmat DUN ketika menziarahi penduduk setempat. |
Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 17 Jun – Meskipun kes baharu jangkitan wabak COVID-19 kian menurun, namun orang ramai terutamanya agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan harus mengamalkan norma baharu dalam segala aktiviti kemasyarakatan.
Pengamal perubatan, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah menyatakan bahawa individu yang menyertai aktiviti ziarah melibatkan golongan berisiko seperti warga emas atau pesakit kronik perlu mengamalkan amalan kebersihan yang baik.
“Pengamalan penjarakan sosial sejauh satu meter dan mencuci tangan dengan kerap perlu diteruskan semasa berziarah.
"Disamping itu, cuba elakkan dari bersentuhan dengan pesakit atau ahli keluarganya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika di temu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam.
Beliau yang juga merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi itu mengesyorkan agar amalan bersalaman ketika berziarah di rumah pesakit digantikan dengan meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat bagi mengelakkan berlakunya sentuhan.
Dalam pada itu, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah memberi peluang kepada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk untuk memulakan kembali rutin mingguan aktiviti ziarah kebajikan.
Jelas Dr. Farhaana, PKPP memberikan sedikit kelonggaran untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan, namun masyarakat perlu mengamalkan norma baharu mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berwajib.
“Semoga dengan usaha ini, kita dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan mencegas penularannya dalam kalangan komuniti setempat,” tambahnya lagi.
Sumber: teganukita.net