'Terima Kasih Ustaz'


Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 17 Mei - 'Terima kasih ustaz atas bantuan ini, alhamdulillah boleh la saya beli pakaian raya tanpa bebankan keluarga," kata Asmawi Abdullah,15.

Asmawi yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah salah seorang daripada 988 penerima sumbangan Dana Amal Ramadhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka.

Majlis Taklimat dan Penyerahan Sumbangan Dana Amal Ramadhan DUN Paka itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan, Satiful Bahri Mamat di Dewan Sekolah Rendah Islam Darul Bayan.

Remaja tersebut yang tinggal di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Gemia turut memanjatkan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan kepadanya.

 "Saya rasa amat bersyukur serta akan guna dengan sebaik mungkin pemberian rezeki ini dan tidak boros,"ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di majlis tersebut.


Sementara itu, Satiful yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri berkata, jumlah kutipan Dana Amal Ramadhan itu telah berjaya mengumpul RM100,000 hasil kempen dan sumbangan orang ramai.

"Hasil kerjasama dengan Darul Aitam, program kutipan amal ini adalah inisiatif bersama untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan antaranya penjaga anak yatim, anak yatim, fakir miskin, OKU, mualaf dan guru Pasti.

"Terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membantu golongan ini," katanya.

Dari segi pelaksanaannya menurut beliau, para penerima akan menerima sumbangan ini melalui MPKK setempat.

"Program yang diadakan saban tahun ini berbeza pada tahun ini disebabkan kekangan daripada wabak COVID-19, dimana agihan terpaksa disalurkan melalui MPKK setempat.

"Semoga ianya sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka yang memerlukan untuk membeli kelengkapan raya sempena sambutan lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi" ujarnya.

Sumber: teganukita.net