Petugas Kebersihan 'Wira Tak Didendang' Diraikan Di Hulu Terengganu



HULU TERENGGANU, 10 Mei - Di saat dunia memerangi wabak Covid-19, ada wira tidak didendangkan yang tidak ketinggalan menjalankan amanah dengan memastikan persekitaran sentiasa dalam keadaan yang bersih dan terjaga.

Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid berkata peranan petugas barisan hadapan (frontliner) seperti doktor, jururawat, polis dan tentera dalam memerangi Covid19 tidak perlu dipersoalkan lagi.

Katanya, beliau turut menganggap petugas kebersihan juga merupakan barisan hadapan atau wira yang perlu diberi penghargaan.

"Petugas-petugas kebersihan sanggup berhadapan dengan risiko untuk dijangkiti disaat mereka terpaksa kerja walaupun dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka ini banyak membantu negeri kita dalam memastikan setiap kawasan terjaga kebersihannya terutama ketika wabak ini melanda.

"Sebab kita mengambil keputusan untuk memberi sedikit tanda penghargaan sebagai membalas segala jasa dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai dari sudut agama itu sendiri," ujarnya.



Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Kepada Pekerja Kebersihan Hulu Terengganu di Pusat Tarbiyyah Kawasan Hulu Terengganu, hari ini.

Seramai 185 petugas dari 10 syarikat kebersihan  di daerah ini menerima sumbangan barangan keperluan asas sempena Ramadan kali ini.



Sumber: teganukita.net