Masyarakat Hulu Terengganu Terus Patuhi PKPB

Rata-rata penduduk Hulu Terengganu mematuhi SOP sepanjang PKPB dilaksanakan


Oleh: Azhar Yusof

HULU TERENGGANU, 12 Mei -Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan  Bersyarat (PKPB) di lokasi tumpuan bandar Kuala Berang didapati masyarakat setempat mematuhi aspek keselamatan dan kawalan kendiri yang tinggi.

Hasil tinjauan UPDI, mendapati premis-premis perniagaan mengamalkan SOP yang ditetapkan seperti memeriksa suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman, menghadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa dan memastikan pelanggan beratur di luar premis dalam jarak sosial yang dibenarkan iaitu satu meter.

Penduduk Daerah Hulu Terengganu yang mengunjungi dua bank di bandar tersebut juga mengamalkan penjarakan sosial dan menggunakan penutup mulut dan hidung.

Anggota Rela turut kelihatan bertugas mengawal orang ramai yang beratur panjang untuk memastikan aspek keselamatan terutamanya penjarakan sosial dipatuhi.



Selain itu, Pasar Besar Kuala Berang juga menjadi lokasi tumpuan penduduk setempat membeli sayur dan ikan.

Tinjauan umum di Pasar tersebut mendapati rata-rata pengunjung patuh terhadap arahan jarak sosial serta memakai penutup muka (face mask).Kelihatan beberapa pegawai penguatkuasaan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) sedang menjalankan tugas memantau aktiviti jual beli di sini.



Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, pematuhan ini cukup penting bagi memastikan rangkaian Covid19 dapat diputuskan sekaligus berakhir dengan cepat demi kebaikan semua pihak.

 "Walaupun PKPB ini dilaksanakan, hakikatnya kita masih berada dalam PKP Fasa keempat dan masyarakat mesti mengamalkan penjarakan social (social distancing), hanya keluar rumah bila perlu, dan kerap membasuh tangan dengan sabun atau ‘sanitizer’ serta memakai ‘facemask’ (topeng muka).

"Kita berterima kasih kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pemimpin setempat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang kerja kuat bagi memastikan masyarakat di daerah ini sentiasa mematuhi arahan dan kekal sebagai Zon Hijau," katanya ketika ditemui oleh wartawan UPDI.

Tambahnya, kejayaan ini menjadi sukar tanpa dibantu oleh semua pihak terutama masyarakat yang perlu mematuhi dan mengikuti segala arahan yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya lagi, hal ini menunjukkan kesedaran masyarakat Hulu Terengganu untuk tidak berada atau menjauhi kawasan tumpuan ramai orang dipatuhi.

Disamping itu juga beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada masyarakat Dun Ajil khususnya yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB bagi memudahkan petugas barisan hadapan  menangani krisis ini.

Sumber: teganukita.net