Rumah yang didiami lima beranak. |
Oleh : Aslam Wira
MARANG, 30 Mei - Selepas tiga hari dua malam hidup berlantaikan rumput dan beratapkan kanvas, lima beranak di Kampung Sungai Kerak di sini akhirnya menerima rumah baharu semalam.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, keputusan itu dicapai setelah beberapa kali perbincangan dibuat bersama pihak lain dan keluarga tersebut.
Katanya, keluarga terbabit akan berpindah ke rumah baharu dalam masa terdekat dan segala urusan berkait perkara itu diuruskan pihaknya.
"Bayaran sewa rumah tersebut sebanyak RM300 juga akan ditanggung dengan persetujuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Marang.
“Dengan bantuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat keluarga ini akan ditempatkan di Taman Dato' Ibrahim, dan mereka telah dibawa untuk melihat rumah tersebut, kunci rumah kita serahkan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga berkenaan.
Keadaan luar rumah. |
Turut hadir adalah, Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, MPKK Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Kerak, dan MPKK Gong Nangka.
Mengulas lanjut, Wahad berkata, tindakan pantas MPKK menyalurkan maklumat banyak membantu pihaknya.
“Pagi ini juga, mewakili Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, tinjauan dan siasatan segera terhadap keadaan keluarga ini dibuat setelah mendapat maklumat daripada MPKK.
Menurut Wahad lagi, sedikit sumbangan seperti keperluan asas, tilam dan makanan turut diagihkan kepada mereka untuk berpindah ke rumah sewa baharu.
“Dalam masa yang sama, Pejabat ADUN Rhu Rendang juga akan berusaha untuk membantu menyiapkan rumah miliknya melalui agensi-agensi terbabit," jelasnya.
Rumah baharu Taufiq sekeluarga. |
Sementara itu, penghuni rumah tersebut, Mohd Taufiq Mohd Alias, 44, terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri yang membantu keluarganya.
"Kerana hilang mata pencarian, saya bersama isteri dan tiga orang anak mengambil keputusan untuk tinggal di rumah milik saya yang saya bina tiga tahun lalu tetapi belum siap sepenuhnya," tambahnya.
Sumber: teganukita.net