KUALA TERENGGANU, 24 Mei- Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyarankan penggunaan pelbagai aplikasi teknologi untuk berhubung dan beramah mesra ketika Aidilfitri bagi menggantikan budaya pulang ke kampung halaman.
Jelasnya, suasana agak berbeza pada lebaran kali ini kerana negara sedang berjuang melawan wabak pandemik COVID-19.
"Saya yakin kita semua pasti merindukan suasana Aidilfitri yang meriah dengan menziarahi sanak saudara sambil menikmati kuih-muih dan juadah kegemaran.
"Begitu juga anak Terengganu di perantauan sudah pasti ingin pulang ke kampung bertemu ibu bapa yang berbulan ditinggalkan demi mengejar cita-cita dan kerjaya di kota.
"Namun, kita terpaksa mengorbankan perasaan buat seketika demi keselamatan negara. Kita semua harus mengamalkan norma baharu termasuk di hari yang paling penting bagi umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Beliau berkata demikian dalm satu kenyataan yang dikeluarkan dalam perutusan Aidilfitri Menteri Besar Terengganu, semalam.
Oleh itu, katanya kecanggihan teknologi pelbagai aplikasi boleh digunakan untuk berkomunikasi dan merasai 'keberadaan' di samping ibu bapa dan keluarga tercinta.
"Di peringkat Kerajaan Negeri, kami kadangkala terpaksa mengambil beberapa keputusan sukar antara keselamatan penduduk dengan kelangsungan aktiviti ekonomi yang memberi impak kepada rakyat dan negeri Terengganu.
Namun, kami percaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperkenalkan dapat memberikan kelegaan kepada sektor perniagaan dan beberapa sektor lain sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih positif," katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dan berkorban sepenuh jiwa raga.
"Terima kasih juga kepada rakyat Terengganu, dan Malaysia amnya kerana sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan.
Sebulan berpuasa di bulan Ramadan sudah pastinya menjadikan kita lebih berdisiplin, lebih patuh, dan lebih bertanggungjawab terhadap suasana sekeliling kita. Buktikan bahawa umat Islam adalah yang terbaik dan menjadi contoh dalam semua aspek kehidupan.
"Sambutlah Aidilfitri kali ini dengan penuh keinsafan dan kegembiraan. Jangan leka di saat sedang bergembira dan sentiasa patuhi garis panduan yang telah ditetapkan," akhirinya.
Sumber: teganukita.net