Oleh : Mustaqim Afandi
BESUT, 21 Mei - Sebanyak 10000 bekas kuih raya diagihkan penduduk sekitar DUN Kota Putera dan agensi kerajaan hasil inisiatif Pusat Khidmat Masyarakat DUN tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pemberian ini adalah tanda ingatan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
"Agihan akan dibuat oleh setiap Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kota Putera untuk diagih kepada setiap isi rumah.
"Walaupun sumbangan tidak seberapa,sekurang-kurangnya semua dapat merasa," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika dihubungi, pada semalam.
Menurutnya, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Putera juga sedaya upaya menyantuni penduduk yang dilanda musibah seperti kematian, bencana alam dan sebagainya, walaupun berdepan dengan sedikit keterbatasan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB).
Nurkhuzaini menambah, bilangan tersebut merangkumi 100 peratus jumlah ketua isi rumah (KIR) dalam DUN Kota Putera.
"Terima kasih diucapkan kepada petugas DUN Kota Putera yang sangat komited dalam memberi sumbangan tenaga dan kerjasama sepanjang Bulan Ramadhan ini.
"Diharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang," tambah Nurkhuzaini.
Sumber: teganukita.net