ADUN Belia Raih Pengalaman Bersama Masyarakat

Amirah menyampaikan sumbangan pihak DUN kepada salah seorang penduduk.

KUALA TERENGGANU, 16 Mei- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Ladang, Amirah Liyana mengambil peluang menyertai aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang Ramadan sebagai suatu pembelajaran membina kemahiran dan kematangan diri.

Secara peribadi, beliau berasa teruja apabila dapat turut serta dalam program agihan sumbangan untuk bersama dengan masyarakat setempat.

"Saya sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk sama-sama menyantuni dan membantu insan-insan yang kurang bernasib baik.
Pihak DUN bantu ADUN Belia biasakan diri dalam komuniti dengan program agihan sumbangan.

"Melaluinya, saya memperolehi pengalaman yang amat berguna dan dapat merasai kesusahan golongan tersebut," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Ziarah Mahabbah Ramadhan di MPKK Bukit Bayas, di sini semalam.

Jelasnya, sekalipun berdepan pandemik Covid-19, pihak DUN terus menyusun program-program bantuan yang bersifat menyantuni masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Pengarah Majlis Tindakan DUN, Kamal Ali memaklumkan, pihak DUN memanfaatkan kewujudan ADUN Belia untuk membantu melaksanakan pelbagai program sepanjang Ramadan ini.

"Hari ini, kita panggil ADUN Belia supaya mereka dapat dekat dengan masyarakat secara praktikal dan memahami situasi di lapangan.

"Walaupun mereka tiada peruntukan, tetapi kita atur penglibatan mereka supaya perlu menjalankan tugas dan membiasakan diri dalam masyarakat," katanya.

Tambahnya, antara program dirancang di peringkat DUN ialah bantuan Ramadhan dan sambutan Aidil Fitri.

"Bantuan Ramadan ini, kita agihkan kurma kepada setiap rumah di DUN Ladang tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan kecenderungan politik.

"Bagi sambutan Aidil Fitri pula, setiap rumah dalam DUN ini akan mendapat satu balang kuih tanpa terkecuali," katanya.

Menurutnya, bantuan juga diwakili oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan diagihkan kepada penduduk di kampung masing-masing.

Di samping itu, pihak DUN Ladang juga giat menjalankan aktiviti ziarah golongan yang benar-benar memerlukan bantuan di setiap MPKK dalam program Ziarah Mahabbah Ramadhan.



Sumber: teganukita.net