Seikat Kangkung Dan Satu Plastik Cencaru Untuk Warga Teluk Menara



Oleh: Ahmad Mawardi

HULU TERENGGANU, 17 April - Gabungan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Jawatankuasa Masjid dan Belia mengambil inisiatif mengagihkan seikat sayur kangkung dan ikan cencaru kepada seluruh penduduk kampung Teluk Menara, Manir dekat sini, bagi meringankan beban mereka ketika lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Teluk Menara, Ir Haji Zamzuri Aziz berkata kangkung dan ikan itu dibeli hasil inisiatif gabungan pihaknya selepas mendapat sumbangan pelbagai pihak dan orang perseorangan yang prihatin.

"Kami terpanggil melaksanakan program tanggungjawab sosial itu berikutan rata-rata penduduk di sekitar kampung ini adalah dari golongan berpendapatan (B40)."

"Agihan ini diserahkan kepada setiap unit rumah yang ada tanpa sebarang pengecualian, ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).



Beliau juga berkata hebahan ini bukan bermaksud untuk menonjolkan diri apatah lagi untuk berbangga, namun ia sekadar hebahan umum kepada warga terlibat terhadap usaha pihak pengurusan kampung untuk memastikan bahawa setiap dapur mampu menyajikan hidangan buat seisi keluarga.

Tambahnya lagi, selain sumbangan yang disalurkan oleh pihak kerajaan negeri, sebahagian besar sumber kewangan adalah datang dari poket para dermawan yang mendokong usaha yang digerakkan oleh pengurusan kampung ini.



Sementara itu, Ir Zamzuri yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa MPKK berkata, pihaknya menyediakan Kaunter barangan keperluan makanan asas secara "walk in" sejak 2 minggu lalu sehingga tamat PKP.

"Ia beroperasi setiap hari di Bilik Gerakan Bantuan di Surau al-Hikmah antara jam 10 pagi hingga 3 petang untuk menyantuni warga yang benar-benar terkesan di kampung kami," ujarnya lagi.

Beliau turut menghargai para dermawan yang telah menyumbang kepada tabung Batuan Kebajikan ini dan menyeru orang ramai untuk terus menderma.

"Semoga Allah SWT menjadikan sumbangan ikhlas anda semua sebagai aset yang bernilai di akhirat nanti.

"Teruskan menyumbang untuk kami berkhidmat, insyaaAllah kita sama² merasai denyut nadi rakyat. Bagi yang berminat untuk bersama kami bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun : 13010005864714 (Bank Muamalat : MPKK Teluk Menara)," katanya.

Sumber: teganukita.net