KUALA TERENGGANU, 18 April - Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB), anak syarikat Golden Pharos Bhd, menerima kelulusan daripada Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 3 berlangsung.
PPSB berkata dalam satu kenyataan kelulusan tersebut telah diperoleh melalui Lembaga Industri Kayu Malaysia (MTIB) dan hanya membenarkan 50 peratus sahaja tenaga kerja untuk operasi kilang selain mewujudkan sistem bekerja dari rumah bagi pekerja yang tidak terlibat dengan aktiviti pembuatan secara langsung.
Kelulusan yang diberikan oleh kementerian adalah bagi memastikan syarikat venir kerajaan negeri itu memenuhi permintaan pasaran eksport di kalangan pembeli.
PPSB juga dikehendaki menghantar kepada MTIB senarai pekerja yang terlibat sepanjang PKP dan memastikan pergerakan pekerja hanyalah dari tempat kilang beroperasi ke rumah dan sebaliknya sahaja.
Pengumuman pembukaan kilang yang beroperasi di Bandar Al-Muktafi Billah, Dungun itu juga turut dibuat oleh Kumpulan GPB melalui Bursa Malaysia.
Menurut PPSB lagi, dari segi protokol kebersihan dan keselamatan, syarikat itu perlu mengambil bacaan suhu pekerja yang hadir setiap hari di pintu masuk kilang di samping menyediakan alat sanitasi pembasmi kuman dan topeng muka yang harus dipakai sepanjang masa sewaktu operasi.
Proses nyahkuman di premis syarikat juga perlu dijalankan sebelum syif atau operasi bermula sekurang-kurangnya tiga kali sehari.
Sumber: teganukita.net