Oleh: Ahmad Ezani razali
KEMAMAN, 28 April - Seramai lima orang pemuda sentiasa bersiap siaga membantu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tengah Chukai melancarkan segala bentuk bantuan untuk penduduk.
Ketuanya, Abd Rahim Rahmat Noor berkata, mereka akan sentiasa bersiap sedia dan membantu sehingga selesai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 di seluruh negara ketika ini.
"Matlamat kami di sini adalah untuk membantu memudahkan segala urusan penduduk kampung.
"Setakat hari ini kami telah membantu mengagihkan sumbangan berbentuk wang tunai, beras, barangan dapur, lampin pakai buang, susu, ayam, roti dan sebagainya," ujarnya.
Menurutnya lagi, semua bantuan yang diagihkan ini adalah daripada kerajaan negeri dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Sumbangan ini dihantar oleh kami dari rumah ke rumah yang lain. Setiap rumah yang berada di bawah tanggungjawab MPKK Tengah Chukai diberi perhatian," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas selesai mengagihkan kurma dan takwim Ramadan kepada penduduk.
Bantuan tersebut adalah sumbangan ikhlas daripada Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah mat.
Sumber: teganukita.net