Nelayan Cina Rugi Hampir RM15 Ribu

Lee Jee See.

Oleh : Wan Hadi

KEMAMAN, 21 April - Seorang nelayan berbangsa Cina di Kemasik mengalami kerugian hampir RM15 ribu selepas bot miliknya karam.

Lee Jee See, 59, berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada kawan terdekat yang mengadu bot tersebut tiada di tempat berlabuh.

Katanya, hampir setengah jam dia tidak mampu berfikir dengan baik kerana teringat nilaian kerugian awal yang akan ditanggung.

"Saya terkejut kerana baru semalam balik dari menangkap ikan, hari ini bot karam setengah jam saya terpinga-pinga apabila perkiraan kos kerugian awal hampir RM15 ribu.

"Sekitar jam 6.30 pagi di Pantai Kuala Kemasik. Bot kebiasaannya berlabuh 500 meter dari pantai hilang dari pandangan," ujarnya ketika ditemui media hari ini.

Che Alias (kanan).
Katanya lagi, ribuan ringgit telah dihabiskan untuk mencari dan menaikkan bot tersebut.

"Petang ini sahaja dah beribu-ribu wang dikeluarkan untuk bayar kos penyelam, esok hendak apungkan bot dan selepas itu tunda masuk ke kuala untuk dibaiki.

"Kos baiki mungkin lebih mahal dan memerlukan lebih banyak wang.

"Kebiasaannya hasil laut di bulan April ini banyak, tapi tahun ini tidak macam tahun-tahun lepas, ini sedikit menyukarkan saya," katanya lagi.

Ujian yang menimpa Jee See mendapat perhatian Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.


Petang tadi Che Alias hadir menyerahkan bantuan wang ringgit bagi menampung kos menaikkan bot yang karam ke kuala untuk dibaiki.

"Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung Jee See, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini," ujar Che Alias.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Kukuran, Nordin Salleh dan Ahli Jawatankuasa MPKK turut hadir.

Sumber: teganukita.net