MPKK Padang Kubu Agih Sumbangan Orang Ramai

Hazri Jusoh (tiga dari kiri) mengagihkan sumbangan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 16 April - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Kubu mengagihkan sumbangan berbentuk barangan dapur bagi golongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada orang perseorangan dan orang ramai yang prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik akibat penularan wabak tersebut.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh yang turut turun padang mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang menunaikan tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat setempat.


"Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang turut mengambil cakna tentang kesusahan sesetengah penduduk di sini yang tidak dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa akibat wabak ini.

"Walaupun tidak menyeluruh, sekurang-kurangnya telah melegakan beberapa keluarga yang amat memerlukan bantuan ini," kata beliau.


Sebanyak 80 bungkusan barangan dapur yang bernilai RM50 sebungkus dapat dikumpulkan hasil seliaan MPKK Padang Kubu dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Ar Rijal Care.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kijal menyatakan, selain itu kerajaan negeri turut memberikan sumbangan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dalam fasa-fasa yang diumumkan melalui Pakej Rangsangan Terengganu Cakna.

Sumber: teganukita.net