Hospital KTS salah satu rangkaian KMI Healthcare menjanjikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit. Foto oleh - Tengku Syamim Tengku Ismail |
Semua Hospital KMI kini menawarkan khidmat rundingan dalam talian, lawatan ke rumah dan perkhidmatan penghantaran dalam beberapa bidang terpilih seperti penjagaan kejururawatan, fisioterapi, farmasi, makanan dan kesihatan.
Sejak awal Mac 2020, kebanyakan Hospital KMI telah mula menawarkan ujian COVID-19 rT-PCR untuk orang ramai dan memperluas perkhidmatannya kepada pandu lalu hingga akhir Mac 2020.
Pengerusi KMI, YM Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin berkata, landskap yang dibawa oleh COVID-19 adalah salah satu kesan dalam skala terbesar yang pernah dilihat dunia pada abad ini. Ianya juga merupakan wabak yang pertama dihadapi oleh dunia moden dan digital.
"Oleh itu, sudah pasti kita juga harus mengubah cara kita menjalankan perniagaan kita dan terus bergerak maju ke hadapan kerana kita tidak pasti berapa lama lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berlaku.
"Sebagai contoh, KMC menawarkan perkhidmatan pengambilan di rumah untuk pesakit fisioterapi di hospital mereka, KTS menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dari dapur mereka dan kedua-dua hospital kami di Lembah Klang KJMC dan TDMC menawarkan penghantaran ubat dari farmasi mereka dan banyak lagi perkhidmatan baharu lain yang telah dan akan ditawarkan," ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, panduan penting bagi operasi perniagaan telah disediakan untuk mengatasi sebarang masalah dan memastikan langkah-langkah penjarakan sosial diikuti dengan rapi. Polisi yang ketat telah dilaksanakan dan keselamatan barisan hadapan selalu menjadi keutamaan.
"Sebelum setiap lawatan, penilaian akan dibuat untuk mengelakkan potensi risiko. Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang betul dan langkah berjaga-jaga lain yang diamalkan oleh barisan hadapan akan memastikan keselamatan dan perlindungan semua kakitangan dan pelanggan kami.
“Kami ingin memastikan bahawa pesakit dan pelanggan kami akan dijaga dengan baik walaupun terdapat situasi pandemik global ini dan hospital kami akan terus menjadi penyedia perkhidmatan kesihatan yang dipercayai oleh orang ramai,” katanya.
Di peringkat hospital, KMI Hospital melakukan tindakan pencegahan termasuk pemeriksaan suhu bagi setiap orang yang masuk ke hospital, kaunter pemeriksaan khas, mengehadkan pintu masuk, maklumat dalam bentuk brosur dan poster COVID-19 serta mendorong amalan kebersihan tangan yang baik sejak global merebak pada awal Januari 2020.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan konsultasi dalam talian mengenai masalah perubatan, diet dan fisioterapi, penghantaran ubat berjadual dan makanan tambahan, lawatan kejururawatan ke rumah dan pemeriksaan darah dan berkala yang lain, sila lawati laman web kami di www.kmihealthcare.com.
Sumber: teganukita.net