Kak Zah turut dibantu oleh anak-anak dalam menyiapkan PPE |
KUALA TERENGGANU, 20 April- Walaupun bergelar isteri Menteri Besar, status tersebut tidak menghalang dirinya untuk menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) buat petugas kesihatan di negeri ini.
To' Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman yang lebih mesra dengan panggilan Kak Zah, tidak mahu melepaskan peluang menghadiahkan sesuatu kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus ‘berperang’ dengan COVID-19.
Suri hati kepada Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan dibantu empat anak menggunakan kemahiran menjahit yang dimilikinya untuk menghasilkan PPE yang akan disumbangkan kepada petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Menurut beliau, inisiatif itu dilakukannya bersama para sukarelawan dikalangan muslimah negeri ini.
"Sebenarnya ini adalah projek Muslimat Negeri yang sama-sama Kak Zah sertai dimana kain-kain diagihkan kepada semua sukarelawan untuk dijahit di rumah masing-masing beberapa hari lalu.
"InsyaAllah untuk fasa kedua ini Kak Zah berharap diri Kak Zah sendiri dapat siapkan 100 pasang PPE," ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mereka akan mengumpulkan semua PPE selepas semuanya siap sebelum diagihkan kepada petugas kesihatan.
“Ini sumbangan kecil kami dengan kemahiran yang ada kerana menyedari PPE menjadi keperluan penting bagi barisan hadapan ketika ini,” katanya.
Tuan Faezah berkata, beliau berharap usahanya itu dapat memberi inspirasi kepada orang ramai terutama wanita di luar sana untuk terus menyumbang kemahiran yang dimiliki dalam membantu petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko ketika bertugas menangani wabak COVID-19.
Sumber: teganukita.net