Gandingan Dua Ulama Nusantara Sempena Ramadhan


Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU, 21 April- Kerajaan negeri melalui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dengan kerjasama Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) akan mengandingkan dua ulama nusantara, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Abdul Somad dalam rancangan bual bicara sempena Ramadhan pada 29 April ini.

Gandingan mantap dua tokoh berkenaan dapat diikuti melalui Facebook rasmi UPDI dan juga TV Darul Iman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program tersebut diadakan bagi menghidupkan bulan Ramadhan dengan perkara yang membawa manfaat kepada masyarakat khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

"Ia juga untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kecanggihan teknologi telefon pintar mereka dalam mendalami Ilmu agama.

"Kita berpeluang mendengar nasihat dan sebagainya dari dua tokoh ulama ini dimana waktu siarannya akan bermula jam 10 malam," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika tampil bersiaran di TV Darul Iman, Wawancara Khas 'Ihya Ramadhan Di Musim PKP COVID-19, semalam.

Menurut beliau, kerajaan negeri secara kerjasama UPDI, DUAT dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) akan turut mengadakan program seumpama itu dengan menampilkan tokoh-tokoh yang lain dari semasa ke semasa sepanjang Ramadhan ini.

"Tokoh pilihan atau pemimpin kerajaan bukan sekadar bersiaran, tetapi turut memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk bertanya secara langsung.

"Kita buat live bersama pimpinan, kemudian mereka (rakyat) boleh bertanya soalan yang mereka hendak tanya," ujarnya.

Selain itu katanya, DUAT akan  menyusun aktiviti bacaan kitab suci al-Quran secara harian melalui aplikasi 'whatsapp' bagi memperingati rakyat agar mengamalkan bacaan kitab suci selain turut menyediakan tazkirah secara online pada setiap hari samada selepas subuh ataupun selepas zohor sepanjang Ramadhan ini.



Sumber: teganukita.net